Khamis, 7 Mei 2020

Kritik isu Rohingya, tapi lambakan warga China, India kenapa diam?

fazleensafina

 

Kumpulan hak asasi terlalu terikut-ikut dasar peringkat antarabangsa


BANGI – Tindakan segelintir kumpulan hak asasi manusia mengkritik langkah Putrajaya menyekat kemasukan baharu pelarian Rohingya ketika Malaysia berdepan penularan pandemik COVID-19 kelihatan sangat melampau.

Ahli Jawatankuasa Pusat PEMBELA, Ustaz Masridzi Sat berkata, kumpulan hak asasi manusia yang bertindak demikian terlalu terikut-ikut dengan dasar digubal di peringkat antarabangsa sehingga tidak mengambil peduli mengenai masalah negara.

Beliau berkata, perkara itu semakin menjadi-jadi apabila badan bukan kerajaan (NGO) pro pembangkang tidak berpuas hati terhadap kewujudan kerajaan baharu, Perikatan Nasional.

“Maka, isu ini dipanaskan oleh pemimpin mereka, sedangkan secara rasionalnya negara kita adalah antara penyumbang paling aktif isu-isu kemanusiaan sebelum ini.

“Tetapi, apabila bertembung dengan masalah ancaman COVID-19, ancaman keselamatan, maka kerajaan baharu kena ambil langkah dahulukan kepentingan rakyat dalam negara terlebih dahulu.

“Ini telah diputarkan belit oleh pembangkang kononnya kerajaan kita zalim kepada pelarian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan berjaya mematahkan cubaan 200 pendatang tanpa izin memasuki perairan negara yang dikesan di 70 batu nautika dari barat Pulau Langkawi.

TUDM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya bimbang kumpulan itu akan membawa kluster baru COVID-19 ke negara ini.

Anak kapal KD Lekiu mengagihkan bekalan makanan kepada kumpulan itu dan mengiringi bot mereka keluar dari perairan Malaysia.

Bagaimanapun, dua kumpulan hak asasi manusia mengkritik pihak berkuasa Malaysia kerana menggunakan pandemik COVID-19 sebagai alasan “menghalau” bot yang membawa muatan etnik Rohingya yang mencari perlindungan di negara ini.

Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira dan Pengarah Eksekutif Forum-Asia, Shamini Darshni Kaliemuthu berkata, 200 pelarian yang berpotensi menjadi pelarian kini dalam bahaya selain mendakwa mereka terkejut dengan kekejaman itu.

Pereira mendakwa, Malaysia sebelum ini pernah menguruskan pelarian dengan sistematik pada masa lalu, namun menyifatkan pengusiran kumpulan ini adalah tidak rasional dan tidak berperikemanusiaan.

Beliau memberi amaran kumpulan itu boleh menjadi mangsa perdagangan manusia.

“Penyeludup mengambil kesempatan terhadap pendatang dan pelarian yang terdesak, terutama dalam krisis,” katanya.

Menempelak perkara itu, Ustaz Masridzi mempersoalkan NGO berkaitan apabila tidak menyuarakan isu kemasukan ratusan ribu warga asing dari China dan India yang tiada rekod keluar dari negara ini.

“Mereka (warga asing) sedang bersembunyi dalam negara, terlibat sindiket pemalsuan kad pengenalan (MyKad), merasuah penjawat awam, penguatkuasa dan orang-orang berpengaruh telah berlaku dengan berleluasa.

“Jadi, dimanakah NGO hak asasi manusia itu tadi? Mereka senyap, bisu.

“NGO ini seolah-olah merestui hak asasi warganegara kita dinodai oleh warga asing, malah seolah-olah bersetuju lambakan warga asing ini akan menggangu dan merosakkan hak-hak warga pribumi sendiri.

“Inilah sikap ‘double standard’ dan hilang jati diri kepada golongan pengkhianat negara. Mereka sanggup sokong satu pihak tetapi senyap apabila ada pihak lain ceroboh hak asasi rakyat dalam negara senditri,” katanya.

Pada masa, beliau berkata, sekiranya golongan NGO berkenaan terus kekal berkuasa, maka rakyat negara ini akan sengsara.

Justeru, beliau menyeru orang ramai untuk membantu kerajaan membebaskan Malaysia daripada pengkhianat negara, lambakan warga asing selain isu pelarian yang melakukan jenayah atau kurang ajar.

“Diharap kerajaan dapat menangkap dan hantar balik warga asing ke negara asal, manakala bagi mereka yang berkelakuan baik dan patuh kepada undang-undang negara wajar dibantu sekadar yang termampu,” tegasnya.


Tiada ulasan: