Jumaat, 1 Mei 2020

Kakitangan awam digalakkan bekerja dari rumah, laksana waktu kerja anjal

Kakitangan awam digalakkan bekerja dari rumah, laksana waktu kerja anjal
Kelonggaran tersebut, katanya boleh membantu pasangan suami isteri menyelesaikan masalah penjagaan anak-anak.
 
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengalakkan kakitangan awam untuk bekerja dari rumah kecuali bagi proses kerja yang perlu berada di pejabat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mesyuarat juga digalakkan diadakan secara dalam talian, selain menggunakan medium yang selamat.

"Bagi mereka yang mempunyai kesulitan penjagaan anak-anak di rumah, kerajaan membenarkan penggiliran pekerja selain majikan melaksanakan waktu bekerja anjal.

"Saya minta supaya semua Ketua Jabatan mengadakan perbincangan di peringkat jabatan masing-masing untuk menyusun semula keperluan sumber manusia di jabatan dengan mengutamakan konsep bekerja dari rumah," katanya dalam Perutusan Khas sempena Hari Pekerja, hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, walaupun sektor ekonomi mula dibuka pada 4 Mei ini, majikan turut disarankan menggalakkan pekerja untuk bekerja dari rumah.

“Mungkin boleh susun jadual hari bekerja secara selang seli. Hari ini masuk pejabat, esok bekerja dari rumah.
“Saya fikir ini juga boleh menyelesaikan masalah penjagaan anak. Walaupun pusat-pusat penjagaan kanak-kanak akan dibuka dengan mengamalkan SOP kesihatan yang tertentu, saya tahu ramai ibu bapa yang bimbang untuk menghantar anak-anak mereka.

“Jadi, kalau majikan boleh memberi sedikit kelonggaran kepada pasangan suami isteri yang bekerja untuk datang ke tempat kerja secara selang-seli, ini boleh membantu menyelesaikan masalah penjagaan anak,” katanya. 
 
 

Tiada ulasan: