PETALING JAYA: Imigresen mengumumkan lebih 1,000 pendatang asing ditahan dalam serbuan seawal 6.30 pagi ke atas “lubuk” mereka di Pusat Bandar Utara di Selayang, Kuala Lumpur.
Operasi yang disertai 1,136 anggota daripada imigresen, polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam, bomba, Kementerian Kesihatan, Jabatan Sukarelawan, dan Majlis Keselamatan Negara itu meliputi seluruh zon dalam kawasan Pusat Bandar Utara.
“Kawasan ini menjadi tumpuan lambakan warga asing yang majoritinya bekerja di kawasan pasar borong,” katanya dalam kenyataan.
Seramai 7,551 warga asing diperiksa dan 1,368 daripada mereka ditahan dan dibawa ke imigresen untuk proses dokumentasi.
Daripada jumlah yang ditahan itu, seramai 421 warga Indonesia, 54 warga India, 6 warga Pakistan, 790 warga Myanmar, 78 warga Bangladesh, dan selebihnya lain-lain warga negara.
Seramai 1,009 daripada mereka lelaki, 261 wanita, dan 98 kanak-kanak.
“Semua warga asing yang diperiksa dan PATI yang ditahan disahkan negatif Covid-19,” katanya.
Mereka ditahan antaranya kerana tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, atau memiliki dokumen palsu.
Mereka akan disiasat Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran, Akta Imigresen, Akta Pasport dan Peraturan-peraturan Imigresen.
“Mereka semua akan diusir ke negara asal setelah menjalani hukuman dan akan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia selama-lamanya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan