Khamis, 21 Mei 2020

Dr M pertikai pendirian ROS isu jawatan pengerusi Bersatu

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Dr Mahathir Mohamad mempertikaikan kenyataan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang mengatakan bahawa beliau bukan lagi pengerusi Bersatu.

Dalam surat oleh peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakilinya, Mahathir juga memohon ROS membatalkan pelantikan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin sebagai setiausaha agung Bersatu.

Haniff berkata, Mahathir percaya bahawa ROS tidak mengambil kira beberapa faktor ketika memutuskan status jawatan pengerusi "berhak" dipangku Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Jelas surat itu, Mahathir mempertahankan jawatan pengerusi selepas tiada sesiapa mencabarnya dalam pencalonan pemilihan Bersatu yang tutup pada 16 Mac lalu.

Selain itu, kata surat itu, Muhyiddin telah menulis surat bertarikh 18 Mac yang menyebut Mahathir sebagai pengerusi Bersatu.

Surat itu adalah untuk memberitahu Mahathir mengenai keputusan menggantikan Marzuki Yahya dengan Hamzah sebagai setiausaha agung Bersatu.

Muhyiddin, katanya, tidak merujuk dirinya sebagai pemangku pengerusi Bersatu selepas surat 18 Mac itu, dan bahkan menandatangani memorandum persefahaman mengenai Perikatan Nasional dalam kapasiti sebagai presiden Bersatu sahaja.

Mengenai peletakan jawatan, Mahathir mengakui bahawa tidak ada dalam perlembagaan Bersatu yang menyatakan bahawa peletakan jawatan boleh ditarik balik atau dibatalkan.

Namun, katanya, perlembagaan juga tidak menyebutkan apakah pengunduran diri melalui surat adalah muktamad.

Oleh yang demikian, Haniff mengatakan bahawa Mahathir membantah surat ROS pada 5 Mei sebagai tidak sah dan tidak tepat.

Mahathir juga mahu ROS menyiasat dan menyelesaikan isu pemecatan Marzuki, dan pelantikan Hamzah, yang dibuat "tanpa berunding dengan ketua Bersatu."

Haniff meminta agar ROS membalas suratnya dalam masa tujuh hari.

Mahathir sebelum ini meletakkan jawatan selepas Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, Bersatu mengumumkan Mahathir akan kekal sebagai pengerusi.

Namun, Muhyiddin kemudian melantik dirinya sebagai pemangku pengerusi.

Pengerusi adalah adalah jawatan paling tinggi dalam Bersatu, dan bahkan presiden mesti melalui persetujuan pengerusi dalam membuat sesuatu keputusan.


Tiada ulasan: