Isnin, 18 Mei 2020

COVID-19 batasi sidang Parlimen 18 Mei

Siti Hafidah


220 Ahli Parlimen boleh hadir persidangan Dewan Rakyat esok

KUALA LUMPUR – Seramai 220 daripada 222 Ahli Parlimen disahkan negatif COVID-19 sekali gus membolehkan mereka menghadiri persidangan Dewan Rakyat esok ( Isnin ).

Dua lagi ahli Parlimen tidak menjalani ujian saringan itu kerana sedang menjalani kuarantin disebabkan dikesan sebagai kontak rapat dengan kes positif COVID-19.

Seramai 950 orang terdiri daripada Ahli Parlimen, Senator, warga kerja Parlimen serta petugas media yang dijadual berada di bangunan Parlimen ketika persidangan sehari penggal ketiga Parlimen ke-14 menjalani ujian saringan COVID-19 secara berperingkat mulai 13 Mei bagi memastikan mereka yang hadir bebas wabak itu.

Persidangan Parlimen kali ini yang berlangsung di tengah-tengah negara berjuang memerangi wabak yang membawa maut itu, diadakan dengan peraturan keselamatan kesihatan yang ketat sebagai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Bagi memastikan persekitaran bangunan Parlimen bersih daripada COVID-19, Jabatan Bomba dan Penyelamat menjalankan proses nyahkuman di kawasan bangunan utama Parlimen hari ini dan selepas persidangan selesai.

Pertemuan 222 Ahli Parlimen bagi Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 pada asalnya dijadual pada 9 Mac sehingga 16 April lepas, namun ditangguhkan kepada persidangan sehari pada 18 Mei berikutan penularan wabak COVID-19 yang menyebabkan kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan.

Persidangan sehari Dewan Rakyat itu selari dengan Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa dewan hendaklah bersidang tidak lebih dari enam bulan selepas sidang terakhirnya.

Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-14 ditangguh pada 5 Disember tahun lepas selepas 36 hari bersidang sejak 7 Oktober 2019.

Urusan mesyuarat Dewan Rakyat itu juga dipinda dengan hanya bagi urusan Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disebabkan penularan wabak COVID-19 dalam negara yang belum reda sepenuhnya.

“Upacara istiadat pembukaan kali ini sedikit ringkas berbanding sebelum ini kerana mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan mengenai COVID-19… namun adat istiadatnya masih kekal,“ kata Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Berdasarkan takwim persidangan Dewan Rakyat, Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga yang akan berlangsung selama 25 hari bermula 13 Julai hingga 27 Ogos ini bakal melibatkan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain serta Pembentangan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

Sementara itu Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata, semua Ahli Parlimen PKR telah menjalani ujian saringan COVID-19 pada 14 dan 15 Mei di kawasan masing-masing dan mereka yang berada di Lembah Klang melakukan ujian itu di Bangunan Parlimen.

Johari berkata, sebelum ini pihak Parlimen telah memaklumkan kepada semua Ahli Parlimen mengenai kepatuhan kepada SOP termasuk diwajibkan mengimbas suhu badan sebelum memasuki bangunan Parlimen.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula berkata, beliau melalui proses pemeriksaan yang ketat di lapangan terbang sebelum menaiki pesawat dari Kuching ke Kuala Lumpur serta mengamalkan penjarakan sosial di dalam pesawat.

“Saya juga telah melakukan tiga kali ujian saringan COVID-19…ujian saringan pertama kali dilakukan di pejabat Perdana Menteri, kedua di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kooperasi dan ketiga di Parlimen. Ini semua untuk langkah berjaga-jaga,” katanya. – Bernama


Tiada ulasan: