Ahad, 3 Mei 2020

Bertindak tegas ke atas pemandu mabuk – DPPNS

HARAKAH DAILY



KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) memandang serius isu pemandu mabuk yang mengakibatkan seorang anggota polis, Koperal Safwan Muhammad Ismail maut di tempat kejadian.

Insiden itu berlaku ketika mangsa sedang bertugas menjaga sekatan jalan raya bagi Ops Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya LEKAS, awal pagi tadi.

Ketua DPPNS, Ustaz Hanafi Zulkapli berkata kerajaan mesti bertindak lebih tegas dan agresif dalam isu berhubung pemandu mabuk kerana telah banyak kes kemalangan sehinggakan mengakibatkan beberapa nyawa terkorban sebelum ini.

Katanya, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepatutnya penjualan arak atau produk yang memabukkan tidak boleh dibenarkan beroperasi kerana ia bukan termasuk dalam keperluan yang mustahak (non essential).

“DPPNS amat konsisten dalam melawan isu arak secara khusus dan bukan sekadar dalam tempoh sepanjang PKP sahaja namun akan terus berusaha.

“Harapnya kerajaan baharu ini akan adanya usaha-usaha bagi mewujudkan satu rang undang-undang pengharaman arak secara berperingkat dibentang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan rohnya dicucuri rahmat serta mendapat ganjaran baik di sisi Allah atas takdir pemergian sewaktu sedang bertugas dan di dalam bulan Ramadhan yang mulia.- HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: