
Ahli MT UMNO, Datuk Razlan Rafii berkata, UMNO tidak pernah menawarkan diri untuk menyertai kerajaan.
Cuma apa yang berlaku akibat tindakan terburu-buru seorang ahli MT UMNO yang ‘menyerang’ Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Tuduhan-tuduhan yang dibuat seperti presiden bekerjasama dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyelamatkan diri dari kes mahkamah sangat biadap dan tidak berhati perut,” katanya lagi.
Mengenai kenapa cadangan kerajaan baharu ini timbul, Razlan berpendapat mungkin kerana keengganan Mahathir menyerah kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didokong kuat oleh DAP.
“Khabarnya Tun Mahathir juga sudah muak dengan permainan DAP dan Hindraf yang cuba mengurangkan keberadaan karekter Islam dan Melayu dalam kerajaan.
“Bagi pihak UMNO dan Pas kita merasakan kerajaan PH sudah terlalu jauh dari kepentingan Islam dan Melayu,” ujarnya.
Justeru apabila ada tawaran atau perundingan bagi membentuk kerajaan yang dapat menjaga kebajikan dan kepentingan Islam, Melayu dan rakyat bawahan, UMNO perlu mempertimbangkan dengan teliti.
“Kita tidak mahu dituduh menolak peluang memulihkan negara ini dan membantu rakyat di bawah.
“Jika ego dan kepentingan diri yang menjadi pertaruhan lebih baik kita menunggu pilihan raya.
Dalam pilihan raya umum lebih banyak tempat untuk wakil UMNO dan lebih banyak ruang menjadi wakil rakyat,” katanya.
Namun pertimbangan itu harus yang terakhir bukan yang pertama kerana yang pertama ialah perjuangan memulihkan negara ini.
Satu lagi, katanya, apa-apa keputusan menyertai kerajaan atau tidak akan turut dibuat bersama Pas dan tidak ada soal ia akan membelakangi Muafakat Nasional.
“Pas sendiri telah beberapa kali berjumpa dengan Tun Mahathir, dan mereka tidak pernah melahirkan apa-apa bantahan mengenai kemungkinan sebarang perbincangan pihak UMNO dengan Mahathir.
“Justeru tuduhan UMNO telah khianat Pas adalah tidak benar sama sekali malah UMNO dan Pas sentiasa berkomunikasi untuk memastikan kepentingan ummah terjaga dalam keadaan negara di kuasai oleh puak liberalis, DAP dan Hindraf.
“Namun jika kita buat keputusan menerima pelawaan kita juga ada kuasa meninggalkan kerajaan ini jika tidak mampu membuat perubahan atau bila Tun Mahathir mungkir janji,” katanya.
Misalnya, kata Razlan, apabila UMNO menyertai kerajaan dan mendapati janji perubahan yang hendak dibuat dihalang oleh Perdana Menteri atau mana-mana kelompok maka UMNO boleh sahaja meninggalkan kerjasama ini dan bergerak secara sendiri kembali.
Sebahagian ahli UMNO mungkin agak emosional memikirkan apa yang telah Tun kata kepada kita namun saya percaya majoriti orang Melayu/Islam mahu melihat kerajaan ini kembali dikuasai oleh kumpulan yang boleh dipercayai mereka, katanya.
“Majoriti orang Melayu melihat kepentingan agama dan bangsa lebih penting dari pertelingkahan antara proksi dan puak dan UMNO tidak mahu dituduh pengkhianat agenda Islam dan Melayu kerana sebuah ego.
“UMNO tidak terkejar jawatan, namun UMNO juga tidak mahu dipersalahkan jika kedudukan agama dan bangsa terjejas ketika ada peluang membuat perubahan segera.
“Apa pun biarlah MT UMNO berbincang dan mendengar dengan teliti pelawaan yang dikemukakan. In Sha Allah kita akan turun ke bawah menjelaskan apa sahaaj keputusan yang dbuat,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan