HARAKAHDAILY
BANDAR TUN RAZAK: Pemerintahan PH hari ini telah
bertindak mencabar tiga teras utama terpenting negara iaitulah kesucian
Islam, kemerdekaan Tanah Melayu dan juga kedaulatan pertiwi.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Rosni Adam berkata, ketika ini berkembang berlaku ‘Malay-bashing’ hingga berani meremehkan Islam yang diamalkan kononnya tidak tulen.
Jawabnya, sejarah telah membuktikan Islam bertapak di Tanah Melayu
sejak zaman Saidina Uthman Affan R.A melalui pedagang Arab, bahkan
Kesultanan Melayu mempunyai pertalian kekuarga dengan pemerintah
Khalifah Turki Uthmaniyah.
Kupasan panjang lebar disyarahnya pada Ceramah Khas dan Pelancaran
Muafakat Nasional Peringkat Parlimen Bandar Tun Razak di Tapak Pasar
Pagi Jalan Jujur, kelmarin.
“Kita lihat, sejarah kemerdekaan turut dipermainkan apabila
diiktirafnya pengkhianat Komunis sebagai pejuang kemerdekaan. Tidak
cukup dengan itu, kita melihat kini telah ada konsep ‘Malay-bashing’.
“Juga tindakan-tindakan yang meremeh-remehkan Islam yang kita amalkan
kini kononnya tidak tulen,” ujarnya menempelak campur tangan dan
kebiadaban serta ganggu-gugat ancaman tersebut.
Perkara tersebut kemuka beliau, antaranya dilakukan Menteri Sumber
Manusia, K Kukasegaran yang mendakwa Melayu sebagai bangsa pendatang,
sedangkan Kontrak Sosial membuktikan tolak ansur kaum Melayu.
Lantaran itulah seru Dr Rosni, pentingnya generasi hari ini
mempelajari sejarah yang sebenar lebih-lebih lagi dalam cabaran terdapat
pihak berusaha menggelapkan hakikat sejarah negara.
Turut disuarakan dalam lingkaran isu disebutnya, adalah kebimbangan
terhadap ancaman kedaulatan di mana terbaharu kerajaan bertindak
mengecualikan visa kepada pelancong dari China dan India.
Apatah lagi katanya, kerisauan terhadap isu hilangnya 95 peratus
rekod keluar pelancong dari negara tersebut bersama pelbagai tindakan
yang sangat berkaitan dengan masalah dibawa.
Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS
Pusat sempat menyeru hadirin agar bergantung harap hanya kepada Allah
walau sehebat mana strategi dirancang.
“Kita perlu jelas bahawa asas perjuangan kita mestilah berlandaskan
Al-Quran dan Al-Sunnah dan kita sendiri bersama pada hari ini kerana
suruhan Allah untuk bertolong bantu ke arah kebaikan dan takwa.
“PAS sejak awal penubuhannya konsisten memperjuangkan tertegaknya
pemerintahan Islam serta hukum-hukumnya di negara ini ke arah mencapai
redha Allah.
“Kita mengucapkan tahniah kerana Umno juga telah menzahirkan
komitmennya untuk bersama perjuangan kita dengan pindaan perlembagaan
mereka yang meletakkan Islam sebab agenda utama,” ucap beliau.
Hadirin juga diseru untuk bangkit bersama Muafakat Nasional kerana
ini adalah perjuangan bangsa dan agama untuk generasi akan datang. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan