Sabtu, 15 Februari 2020

Pentadbiran negara tak fokus, banyak sangat main politik

Oleh Siti Fatimah Ishak

 

Beranikah kepimpinan buat referendum rakyat atau bubar Parlimen


BANGI – Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengakui sejak Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara – hampir dua tahun – politik negara begitu goyang dan terganggu dengan hal-hal kepimpinan.

Mujibu Abd Muis berkata, kita melihat gangguan kepada kestabilan politik sudah mula mempengaruhi aspek ekonomi dan sosial negara.

Katanya, perkara sedemikian telah mengakibatkan pentadbiran negara tidak fokus dan terpesong pengurusannya kerana banyak sangat bermain politik.

“Ketidaktentuan politik semasa memuncak apabila timbul desas desus akan kewujudan sebuah ‘pakatan baharu’ antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan PAS.

“Perkara itu diperkukuhkan lagi apabila ada khabar angin berkenaan akuan bersumpah (SD) dalam kalangan Ahli Parlimen terutamanya daripada PH, untuk menyokong Tun Dr Mahathir Mahathir menamatkan tempoh mandat sebagai Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum akan datang.

“Walaupun ramai yang masih menafikan dan berdolak-dalik tentang kebenarannya, ia sudah cukup untuk memberikan isyarat bahawa sesuatu yang besar bakal berlaku,” katanya menulis di Sinar Harian, hari ini. 

Pakatan baharu atau ‘Pakatan Nasional’ didakwa sebagai sebuah usaha untuk menggantikan PH sebagai gabungan parti pemerintah dan sekali gus menamatkan terus pelan peralihan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri ke-8.

Spekulasi itu tercetus pada 3 Februari lalu apabila bekas Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendedahkan mengenai perkara berkenaan.

Mengulas perkara itu, Mujibu berkata, berkemungkinan jalan terbaik untuk menyelesaikan semua ini adalah dengan menyerahkan keputusan kembali kepada rakyat, berbanding mengharapkan penyelesaian daripada orang politik yang tidak berkesudahan.

Katanya, secara falsafah politik dan kerajaan itu pun sepatutnya bermaksud kerajaan rakyat, daripada rakyat untuk rakyat.

“Jadi beranikah kepimpinan yang ada sekarang untuk berbuat dua perkara sebagai penyelesaian; melakukan referendum rakyat supaya suara dan pandangan mereka didengar dalam perkara ini ataupun bubar sahaja Parlimen dan beri laluan kepada pilihan raya semula,” katanya.



Tiada ulasan: