Rabu, 5 Februari 2020

Bakal jemaah umrah gusar Arab Saudi kenakan saringan ketat

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Langgar prinsip Islam, syarat tertentu boleh dikenakan bila-bila masa


BANGI – Wujud kegusaran dalam kalangan bakal jemaah umrah sekiranya kerajaan Arab Saudi mengenakan saringan lebih ketat kepada mereka yang berhasrat menunaikan ibadah berkenaan pada masa hadapan susulan kontroversi dicetuskan oleh usahawan kosmetik, Muhammad Sajad Kamaruzzaman.

Pendakwah yang juga Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd (Andalusia), Datuk Haji Md Daud Che Ngah menegaskan, Arab Saudi pada bila-bila masa boleh mengenakan syarat-syarat tertentu, jika terdapat kelakuan dalam kalangan jemaah yang tidak menghormati prinsip atau dasar Islam.

“Apabila sudah terhantuk, barulah kita nak terngadah. Jadi kebimbangan itu ada. Kemungkinan itu ada, sekiranya kita sendiri tidak prihatin dengan penyantunan kepada jemaah kita supaya mengikut maqasid syariah yang betul,” katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Isu Muhammad Sajad berpakaian seperti wanita ketika mengerjakan umrah dilaporkan mendapat perhatian dari pihak berkuasa Makkah.

Perkara tersebut dikongsi oleh peserta Pencetus Ummah (PU), Amin yang kini berada di Tanah Suci.
Melalui perkongsian di Instagram, Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim berkata, beliau telah ditegur oleh polis Arab Saudi dan bertanya sama ada mengetahui mengenai isu tersebut.

Dalam perbualan dengan polis berkenaan, Amin berkata, beliau diingatkan agar jangan sesekali melakukan sebarang perkara yang melanggari undang-undang kerana lokasi tersebut merupakan tempat ibadah dan tempat suci.

Sekiranya ditangkap, jemaah dari Malaysia akan mempunyai masalah untuk menunaikan ibadah umrah.

Pada masa sama, Md Daud secara peribadi khuatir sekiranya bakal jemaah umrah akan dikenakan peraturan-peraturan yang lebih ketat susulan kes berkenaan.

“Kita takut nanti kerajaan Arab Saudi melihat kita ‘memudah-mudahkan’ urusan orang Islam ini lalu mereka membuat saringan yang ketat.

“Jika saringan ketat teruklah. Takkan seorang perempuan (jika Arab Saudi mengesyaki wanita itu adalah transgender) mahu menunaikan umrah, sampai dekat imigresen dibawa masuk ke bilik pemeriksaan yang ketat, disuruh buka semua pakaian, memalukanlah macam itu.

“Bahkan, mungkin ada juga yang tidak ingin menunaikan umrah kerana rasa susah sangat,” kata beliau.


Tiada ulasan: