Khamis, 20 Februari 2020

Ada dua SD berlegar dalam kalangan ahli parlimen PKR

KOW GAH CHIE & NANTHA KUMAR




Ada dua inisiatif sedang digerakkan secara berterusan untuk mendapatkan pengakuan bersumpah dalam kalangan ahli parlimen PKR ketika ini.

Satu, agar mereka memberikan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri sehingga parlimen dibubarkan semula; dan kedua, bagi mengukuhkan perjanjian dibuat PH dalam proses peralihan kuasa.

Hal itu dapat disahkan selepas Malaysiakini menemu ramah sebilangan besar ahli parlimen PKR.

Ketua whip PKR di parlimen, Johari Abdul, berkata beliau memulakan inisiatif bagi akuan berkanun (SD) berbunyi: "(Saya) menyokong Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketujuh dan menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kelapan."

Ikrar itu mengukuhkan lagi perjanjian - dicapai pada 7 Jan 2018 - dalam kalangan pemimpin tertinggi PH tetapi tiada tarikh yang jelas ditetapkan untuk peralihan tersebut.

Kata Johari, SD yang disediakannya untuk ahli parlimen PKR itu adalah tindak balas kepada kempen berterusan dibuat pihak lain bagi mendapatkan tandatangan untuk satu lagi SD yang menyokong Mahathir kekal dijawatannya sehingga PRU akan datang.

"Kira-kira 40 (ahli parlimen) daripada 50 (wakil rakyat PKR) sudah menurunkan tandatangan. Kami ada senarai yang panjang," katanya kepada Malaysiakini.

Nak selamatkan negara, parti
 
Tambah ahli parlimen Sungai Petani itu, beliau menggerakkan inisiatif tersebut kerana mahu Anwar menjadi perdana menteri selepas Mahathir.

Katanya, senarai ahli parlimen yang menurunkan tandatangan itu akan didedahkan selepas ia selesai dikumpul.

Ditanya apa perlunya SD itu apabila Mahathir sudah mengesahkan akan berundur selepas berlangsungnya sidang kemuncak pertubuhan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) Nov ini, Johari berkata: "Itu adalah urusan Tun (Mahathir), (tapi) ini dalam kalangan kami sendiri (PKR)."
Kata Johari lagi, Mahathir ada parti sendiri dan begitu juga dengan dirinya.

"Saya mesti tunjukkan kesetiaan saya kepada presiden saya," katanya.

Menurut Johari, pengumpulan tandantangan itu dibuat atas kapasitinya sebagai ketua whip PKR dan beliau sudah berhubung dengan ahli parlimen parti itu di seluruh negara, termasuk yang menyokong Timbalan Presiden, Azmin Ali.

Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid, dan Jugah Muyang (Lubuk Antu) yang dihubungi mengaku mereka sudah menurunkan tandatangan disediakan Johari.

"Saya mahu menyelamatkan negara ini dan parti. Saya mahu pastikan semuanya teratur serta manifesto pada PRU14 dilaksanakan," kata Abdullah Sani.

Jugah pula berkata, beliau menurunkan tandatangannya pada SD tersebut pada Ahad lalu.
Sementara itu Ahli Parlimen Padang Serai, M Karupaiya, memberitahu Malaysiakini, setiausaha politik Azmin, Muhammad Hilman Idham, ada menghantar mesej kepadanya tetapi tiada sebarang SD disebut.

"Saya tak berjumpa dia. Dia menghantar mesej kepada saya kira-kira seminggu lalu untuk ucapan selamat.

"Dia juga tanya kalau saya ada di Kuala Lumpur, tapi saya balas, saya di Sungai Petani. Itu saja," katanya.

Menurut Karupaiya, beliau menghormati semua pemimpin tetapi pada masa sama menyokong agar Anwar menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri kelapan.

"Saya bukan untuk dijual beli," katanya.

Jalankan tugas dengan baik
 
Karupaiya juga mendakwa beliau tahu mengenai SD untuk menyokong Anwar namun belum melihatnya lagi.

Untuk rekod pada 11 Feb lalu portal Sarawak Report mendakwa ada sejumlah ahli parlimen seluruh negara "diberi tekanan untuk datang ke Kuala Lumpur" bagi menyatakan sokongan kepada SD meminta Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal sekarang.

Selain Umno, PAS dan Bersatu, laporan itu mendakwa ahli parlimen yang menyokong Azmin turut menurunkan tandatangan masing-masing pada SD tersebut.

Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong, berkata "kedua-dua pihak" ada menemuinya sebelum ini namun beliau enggan mendedahkan butiran lanjut.
Steven Choong
"Dalam pertemuan itu, saya beritahu mereka, saya takkan tandatangan kedua-dua SD berkenaan kerana ia bercanggah dengan kehendak rakyat.

"Rakyat mahu parti-parti (yang memerintah) membuat keputusan," katanya.

Tambah Choong, kedua-dua pihak memberitahunya, mereka sudah mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat, namun beliau tidak yakin dengan dakwaan tersebut.

"Kalau kamu sudah memiliki sokongan majoriti, kamu akan bertindak terus dan tak perlu jumpa saya.
"Saya enggan menandatangani (SD berkenaan) kerana saya tak tahu apa yang saya sokong," katanya kepada Malaysiakini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, sebaliknya memberitahu, tiada mana-mana pihak menghubunginya mengenai mana-mana SD berkenaan.




Beliau juga berpendapat, tiada keperluan untuk kempen mendapatkan tandatangan itu kerana Mahathir sudah menyatakan akan berundur selepas sidang Apec.

"Lagi pun, garis masa peralihan kuasa akan ditentukan. Mengapa kamu perlukan SD? Ikut sajalah (konsensus) parti," katanya.

Ahli Parlimen Ranau, Johanathan Yasin, ketika ditanya Malaysiakini enggan mengesah atau menafikan beliau menandatangani mana-mana SD tetapi berpendapat Mahathir wajar kekal sebagai perdana menteri.

"Beliau sudah melakukan tugasnya dengan baik. Saya fikir OK (untuk Mahathir) kekal kecuali beliau menyalurkan wang (negara) ke negara lain atau mencuri.

"Atau jika beliau tak berkesan sebagai perdana menteri, maka kalau begitu, beliau perlu meletak jawatan.

"Tapi kalau tak ada masalah dan tak ada bukti beliau melakukan kesalahan, apa masalahnya?" katanya.

Tiada ulasan: