KUALA LUMPUR – Mengejutkan apabila seseorang yang bergelar Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh ‘membelakangkan’ polis dengan bertindak membocorkan rahsia sulit kepada umum sebelum kes itu mula disiasat.
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang hairan dengan Latheefa Koya yang mendedahkan rakaman-rakaman perbualan ‘sulit’ dan rahsia kepada masyarakat umum melalui sidang media sebelum ia disiasat polis.
“Jadi soalan saya, Latheefa juga bersalah kerana perkara ini masih perlu melalui siasatan rapi, tetapi beliau sendiri bertindak membocorkan rakaman perbualan kepada umum terlebih dahulu.
“Latheefa sendiri sedia maklum pihak SPRM tidak menyiasat perkara tersebut sebaliknya perlu menyerahkan perkara ini kepada pihak polis untuk siasatan.
“Apa yang telah dilakukan oleh Latheefa sebenarnya adalah membocorkan dan mendedahkan semua rahsia yang sepatutnya disiasat oleh polis terlebih dahulu. Itu kerja polis, bukan dia. Sejak bila rahsia kerajaan yang kamu dakwa dalam rakaman itu kamu dedahkan kepada media Latheefa?
“Pihak polis pula kini terpaksa menyiasat sesuatu yang sulit tetapi sudah diketahui oleh umum secara meluas. Bukankah itu kesalahan besar dilakukan oleh Latheefa?,” soalnya selepas penangguhan perbicaraan SRC International Sdn Bhd.
Pada pagi tadi, Latheefa membuat pendedahan mengejutkan apabila memainkan kepada media beberapa set rakaman audio perbualan yang melibatkan Najib yang disifatkan sebagai kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara.
Selepas semua rakaman audio diputarkan semasa sidang media yang dijalankan secara langsung melalui televisyen, Latheefa berkata, ia menimbulkan banyak perkara.
“Terdapat pelbagai isu serius yang timbul termasuk menyalahgunakan kuasa, konspirasi jenayah, menghalang keadilan, menjejaskan keselamatan negara, membuat bukti palsu melalui bantuan asing dan membiarkan perbuatan salah,” kata beliau.
Latheefa berkata, pejabatnya akan menyerahkan bahan tersebut kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk memudahkan penyiasatan.
Kata Latheefa lagi, beliau bertindak mendedahkan kepada umum terlebih dahulu malah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sendiri belum tahu apa-apa butiran tentang perkara itu.
Perbualan itu berlaku antara 5 Januari dan 29 Julai 2016, kata Latheefa sambil menambah, SPRM menerima rakaman tersebut pada tahun baru.
Bagaimanapun, Latheefa enggan mendedahkan dari siapa, bagaimana atau dalam bentuk apa suruhanjaya itu menerima rakaman tersebut tetapi berkata, beliau percaya ia berkaitan dengan SRC International Sdn Bhd.
Satu lagi syarikat, 1Malaysia Development Bhd (1MDB), juga dirujuk di beberapa bahagian perbualan itu yang diputarkan untuk didengari media.
Shafee juga menempelek Latheefa yang disifatkannya sebagai ‘ahli politik’ berbanding menjadi Pesuruhjaya SPRM.
“Apakah agenda untuk lakukan semua ini lagi-lagi ketika PRK Kimanis? Jangan lupa kamu adalah Pesuruhjaya SPRM bukan lagi politik, jangan berpoliitk atau letak jawatan dan kembali aktif dalam politik.
“Kita sedang mengkaji apakah jenis tindakan susulan yang boleh di ambil melalui perundangan terhadap SPRM khasnya Latheefa itu sendiri pada masa ini.
“Sebagai seorang pakar undang-undang, pastinya Latheefa juga sedia maklum kes-kes yang sedang berjalan ketika ini. Adakah Latheefa mahu cuba mempengaruhi kes yang sedang dibicarakan ketika ini?
“Banyak yang telah Latheefa langgar dalam pendedahan rakaman-rakaman audio ini. Apa agenda sebenarnya,” jelasnya. –MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan