SHAH ALAM - Rata-rata pengguna kecewa apabila gagal menebus wang percuma RM30 yang dibiayai kerajaan bagi program e-Tunai Rakyat yang dilancarkan bermula semalam.
Sebahagian pengguna kelihatan marah kerana mendakwa sistem lembab dan terpaksa mencuba beberapa kali, namun masih tidak berjaya.
Bagaimanapun, pengendali Facebook ketiga-tiga aplikasi itu dilihat memberi respon memaklumkan gangguan berlaku pada sistem kerana kemasukan serentak permohonan penebusan yang sangat tinggi, selain sedang cuba memperbaiki masalah yang timbul.
Selain itu, Sinar Harian mendapati kebanyakan pengguna juga mahu menebus tunai percuma pada hari pertama kerana memaklumkan antara syarat penebusan ditetapkan pengendali e-dompet adalah berdasarkan 'siapa cepat dia dapat', sedangkan tempoh penebusan diberikan adalah bermula 15 Januari 2020 sehingga 14 Mac 2020.
Sementara itu, di Selangor, Shahida Hassan, 37, berkata, dia mengalami masalah untuk mengakses masuk capaian aplikasi pengendali e-dompet itu sejak jam 8 pagi semalam.
"Tapi sejak pagi ia masih gagal diakses....Hanya pada jam 3.30 petang semalam dapat masuk dan dimaklumkan bantuan akan diproses dalam tempoh tiga hari waktu bekerja," katanya.
Seorang pengguna di Kuala Lumpur, M Shafiq Z, 29 berkata, dia juga masih belum berjaya membuat penebusan e-Tunai Rakyat mungkin disebabkan terlalu ramai yang sedang membuat proses penebusan berkenaan.
Katanya, insentif kerajaan mampu menggalakkan penggunaan e-dompet, namun ia perlu diperluaskan tidak terhad sekadar dalam pasaran besar atau outlet tertentu tetapi kepada penggunaan seperti di pasar malam dan gerai-gerai kecil.
Bagi pengguna e-dompet di Kelantan, Mohd Zulhairie Manzaidi memberitahu, pada mulanya dia tidak menyedari tarikh penebusan tersebut bermula hari ini sehingga diberitahu oleh rakannya.
"Rakan saya hubungi saya dan maklumkan tentang perkara tersebut. Alhamdulillah, saya sudah pun membuat penebusan melalui aplikasi e-dompet.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan