Rabu, 22 Januari 2020

Najib boleh panggil pakar kenal pasti ketulenan tandatangan

Kasthuri Jeevendran
MGF22012020_Perbicaraan-Najib_06-1
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI
 

KUALA LUMPUR –  Permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memanggil pakar tulisan tangan bagi menganalisis ketulenan tandatangan beliau dalam beberapa dokumen SRC International Sdn Bhd mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi sebentar tadi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika membacakan keputusan permohonan Najib setelah mendengar hujahan kedua-dua belah pihak sejak Isnin lepas membenarkan pakar dari Australia itu untuk hadir memeriksa serta memberi keterangan minggu hadapan.

Kata Mohd Nazlan, Najib sebenarnya berhak mendapat pengadilan yang adil dan sebenarnya boleh mendapat sebarang keterangan relevan yang dipilihnya untuk membela diri dalam kes perbicaraan penyewelengan dana SRC International bernilai RM42 juta ketika ini.

Bagaimanapun, kata Mohd Nazlan, mahkamah juga mempunyai hak untuk mempertimbangkan semula keterangan saksi itu yang dikenali sebagai Dr Steven pada akhir perbicaraan.

“Dalam pada masa sama, pendakwaan juga boleh memanggil saksi untuk menafikan keterangan saksi pembelaan seperti peruntukan Seksyen 425 Kanun Tatacara Jenayah jika itu yang dimahukan.

“Keterangan oleh saksi ini perlu dilakukan dalam tempoh dua hari di kompleks mahkamah ini dan juga perlu dilakukan sebelum 3 Februari depan. Perjalanan prosiding perbicaraan juga tidak boleh terganggu kerana kehadiran pakar ini, sila ambil maklum,” katanya sebentar tadi.

Sebanyak 35 eksibit dokumen digunakan oleh pihak pendakwa setakat ini bagi membuktikan wujudnya kes prima facie terhadap Najib yang menghadapi tujuh pertuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang dari SRC International.

Daripada jumlah itu, sebanyak 13 dokumen dipertikai oleh pihak pembelaan malah Najib sendiri berkali-kali memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pasti dengan tandatangan-tandatangan yang kelihatan seperti tandatangan beliau namun masih sangsi mengenainya.

Mohd Nazlan kemudian meminta perbicaraan bersambung dengan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan mengangkat sumpah sebelum pemeriksaan balas berhubung kes berkenaan dengan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram.

Najib ketika ini membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International yang terdiri daripada tiga pertuduhan jenayah pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berkaitan dengan dana SRC.

Prosiding bersambung di hadapan Mohd Nazlan ketika ini yang sudah masuk hari ke-72 perbicaraan. –MalaysiaGazette

Tiada ulasan: