Ahad, 5 Januari 2020

Jangan perlekeh BN, Khairy beritahu Warisan

Khairy Jamaluddin ketika berucap dalam ceramah BN di Batu 
6, malam tadi.
 
KIMANIS: Kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis akan membuka jalan bagi kebangkitan semula parti pemerintah yang pernah mentadbir Sabah, kata Umno Khairy Jamaluddin.

Ahli Parlimen Rembau yang juga bekas menteri Belia dan Sukan itu berkata PRK pada 18 Jan ini akan menjadi batu loncatan bagi BN menawan semula negeri itu sebagai sebahagian daripada hasratnya untuk menawan semula Putrajaya pada PRU15.

“Ini akan menjadi ujian pertama bagi BN di Sabah. Di Semenanjung, kita telah berdepan beberapa PRK, yang pada mulanya kita kalah seperti di Seri Setia, Balakong dan Port Dickson.

“Tetapi, kemudian, kita menang berturut-turut di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan PRK terakhir di Tanjung Piai.

“Jangan fikir hanya kerana Sabah berada di bawah Warisan, BN tidak boleh menang di Kimanis,” katanya yang menerima tepukan daripada kira-kira 100 pengunjung pada ceramah di Batu 6, malam tadi.

Khairy menggesa pengundi memilih calon BN, Mohamad Alamin supaya ada suara pembangkang lain dari Sabah yang berjuang untuk negeri itu di Parlimen.

“Sekarang hanya tinggal ahli Parlimen BN dari Sabah, Bung Moktar Radin, bercakap di Parlimen.
Saya bersimpati dengannya kerana dia sering hadir ke mahkamah,” katanya merujuk dakwaan rasuah yang dihadapi Bung Moktar dan isterinya, Zizie Izette Abd Samad.

“Jika Bung tidak berada di Parlimen kerana hadir ke mahkamah, siapa yang tinggal untuk bercakap bagi Sabah? Jawapannya adalah Kimanis.”

Khairy juga memberi amaran kepada pengundi untuk tidak mempercayai dakwaan Warisan bahawa BN adalah parti berasaskan Tanah Melayu.

“Mereka katakan ini supaya rakyat menolak BN dan sokong Warisan yang mereka anggap sebagai parti Sabah,” katanya.

“Jika orang kata BN Sabah bersatu dengan BN nasional, itu ok kerana kita berada dalam kedudukan untuk menguasai seluruh negara.

“Warisan kata mereka parti Sabah untuk rakyat Sabah. Jika itu benar, maka tidak perlu mereka berada dalam Kabinet Persekutuan.

“Para menteri mereka harus menarik diri tetapi mereka masih ada. Mengapa? Kerana mereka tahu mereka perlu bekerjasama dengan kerajaan pusat.”

Beliau mendakwa ketiga-tiga menteri persekutuan dari Warisan – Mohamadin Ketapi, Darell Leiking dan Liew Vui Keong – lemah dan gagal menjalankan tugas mereka dengan baik.

Khairy juga berkata ketika beliau bertanding untuk jawatan presiden Umno sebelum ini, beliau mencadangkan Umno Sabah diberikan autonomi kerana status negeri itu sebagai salah satu wilayah yang membentuk Malaysia.

Tiada ulasan: