Mula kendurkan tekanan bimbang peruntukan pendidikan Cina dipotong
SUKAR untuk percaya kenyataan Menteri
di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, kononnya
Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia
(Dong Jiao Zong) bersetuju pembelajaran jawi bukan bertujuan untuk
‘mengislamkan’ murid non muslim.
Lebih mengejutkan apabila pertubuhan
radikal itu secara tiba-tiba mengiktiraf tulisan jawi yang selama ini
mereka tentang habis-habisan sebagai warisan kebudayaan Malaysia yang
perlu dihormati.
Pedang tersentak, Mujahid boleh pula
menjadi jaguh mempertahankan Dong Jiao Zong? Naik pening Pedang dengan
sikap menteri agama ini. Dulu masa puak-puak ini menentang senyap seribu
bahasa. Sekarang sibuk jadi hero mereka. Mana maruah beliau?
Nada tersebut nyata berbeza dengan ucapan
Setiausaha Agung Dong Zong, Ng Chai Heng yang sebelum ini berkata,
komuniti Cina khuatir pengenalan jawi mempunyai unsur Islamisasi yang
berupaya mempengaruhi pelajarnya.
Kenyataan Chai Heng pada ketika itu
mengundang polemik, ekoran banyak bantahan dikemukan dari pelbagai
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyifatkan perkara itu tidak
sewajarnya diucapkan oleh rakyat Malaysia yang selama ini hidup secara
aman dalam kepelbagaian agama, bangsa dan bahasa.
Sehinggakan ada di antara NGO khususnya
gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mendesak, supaya
pertubuhan radikal Cina berkenaan diharamkan daripada terus menghasut
rakyat di negara ini.
Sejenak terngiang kata-kata Presiden
ISMA, Haji Aminuddin Yahaya di benak fikiran Pedang yang masih tidak
percaya bagaimana begitu cepat Dong Jiao Zong berubah fikiran.
Haji Aminuddin berkata, terdapat dua
kemungkinan berhubung kenyataan Dong Jiao Zong semalam iaitu sama ada
Mujahid ditipu atau rakyat diperbodohkan.
Walaupun, ia hanya sekadar andaian namun
bagi Pedang kedua-dua kemungkinan yang diberikan jika benar-benar
berlaku hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.
Namun begitu, ada juga menyatakan Dong
Jiao Zong berubah sebegitu rupa dek kerana penangan Tun Dr Mahathir
Mohamad yang kini menggalas tugas sebagai pemangku menteri pendidikan
bagi menggantikan Dr Maszlee Malik yang beliau sendiri arahkan supaya
berundur.
Perkara berkenaan ada logik juga, ini
kerana pada ketika para pemimpin kerajaan lain menyimpan ‘kuku’
berhubung tulisan jawi, Dr Mahathir dengan lantang menggelar pertubuhan
radikal Cina itu sebagai rasis.
Dakwaan keras Dr Mahathir langsung tidak
dibalas dengan sebarang kenyataan oleh Dong Jiao Zong, jadi apakah
mereka sebenarnya `takut’ kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (Bersatu) itu.
Terbaharu, ucapan Presiden MCA, Datuk
Seri We Ka Siong yang sangat berharap, dana pendidikan Cina kembali
kepada normal setelah Dr Mahathir menjadi pemangku menteri pendidikan
sebagai sindiran kepada Pakatan Harapan (PH) yang berniat mengambil
Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) perlu diambil perhatian.
Sindiran Ka Siong dibuat berasaskan
sekeping gambar yang dimuat naik bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau atau lebih
dikenali sebagai Superman Hew berkenaan peruntukan kepada pendidikan
Cina yang meningkat secara drastik saban tahun dari 2018 sehingga 2020
sejak berada di bawah pimpinan PH.
Berdasarkan gambar berkenaan, peruntukan
kepada sistem pendidikan Cina meningkat di bawah PH berbanding kerajaan
Barisan Nasional (BN) di mana sekolah Cina swasta turut menerima manfaat
berbanding hanya sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) sahaja sebelum
ini.
Jadi dalil yang mengatakan Dong Jiao Zong
berlembut kerana bimbang peruntukan pendidikan Cina dipotong kerana
ketegasan Dr Mahathir ada kebenarannya.
Jadi, kita kini sudah temui ramuan dalam
mengekang kesombongan Dong Jiao Zong iaitu perlukan kepada seorang
pemimpin yang tidak gentar dengan ugutan atau desakan dalam menjalankan
tugas sebagai menteri pendidikan.
Kata Pedang: Menteri agama tunjuk hero pertahan Dong Jiao Zong. Kasihan nasib Melayu, Islam dapat pemimpin seperti ini…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan