Ahad, 22 Disember 2019

Polio: Golongan tolak pelindung vaksin perlu insaf

fazleen safina

 

Tiada penawar sembuhkan polio, tapi boleh dicegah melalui vaksin

MELAKA – Golongan menolak vaksin terutama ibu bapa yang enggan membenarkan anak mereka diberi suntikan vaksin imunisasi, seharusnya insaf dengan kes polio baru-baru ini, yang hanya boleh dicegah dengan vaksin sebagai pelindung kepada nyawa terutama kanak-kanak.

Perunding pakar pediatrik dan ahli imunologi Datuk Dr Musa Mohd Nordin berkata, ini kerana polio adalah penyakit amat berbahaya apabila satu daripada 200 mereka yang dijangkiti akan lumpuh seluruh badan, manakala lima hingga 10 peratus dijangkiti meninggal dunia.

Lebih memburukkan keadaan, katanya, polio adalah penyakit yang amat mudah berjangkit serta merebak kesan daripada najis, lendir, makanan, sistem sanitasi dan persekitaran tidak bersih.

“Tiada penawar untuk menyembuhkan penyakit polio ini ditemui hingga ke hari ini, tetapi polio boleh dicegah dengan vaksin yang telah lama terbukti selamat dan berkesan.

“Polio ini suatu penyakit yang amat serius, maka pastikan anda dapat imunisasi yang lengkap dan bagi mereka menolak vaksin saya harap ini jadi suatu keinsafan buat mereka,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Pada 6 Disember lepas, seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi sebuah hospital selepas disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1), adalah kes polio pertama setelah Malaysia diisytiharkan bebas penyakit itu 27 tahun lepas.

Menurut Jadual Imunisasi Kebangsaan Malaysia, bayi perlu menerima vaksin polio tidak aktif (IPV) pada usia dua bulan, tiga bulan dan lima bulan. Bayi itu juga perlu diberi dos tambahan apabila mencapai usia 18 bulan.

Dr Musa berkata, tahap imunisasi bagi sesebuah komuniti mencegah penyakit dengan berkesan adalah 95 peratus dan menurutnya Kementerian Kesihatan serta semua pihak terbabit telah melaksana langkah imunisasi membanggakan apabila negara ini melebihi 96 peratus tahap imunisasi nasional.

Bagaimanapun beliau berkata, apa yang membimbangkan adalah kegagalan sesetengah komuniti setempat di negara ini terutama di kawasan pendalaman memperoleh vaksin, antaranya akibat kurang pengetahuan seterusnya gagal mencapai tahap imunisasi berkesan 95 peratus itu.

“Syabas Kementerian Kesihatan kerana telah melaksana pemantauan dan mengambil respons awal apabila dua setengah bulan lepas berlaku penularan polio di Filipina. Saya percaya kementerian akan mengambil langkah meningkatkan liputan imunisasi dalam kalangan komuniti tahap imunisasi rendah ini,” katanya.

Media sebelum ini turut melaporkan siasatan di kawasan tempat tinggal kanak-kanak dijangkiti polio itu mendapati 23 daripada 199 orang berumur antara dua bulan hingga 15 tahun tidak menerima vaksin polio, menunjukkan hanya 88.4 peratus menerima vaksin polio dalam kumpulan itu. -Bernama


Tiada ulasan: