Ahad, 8 Disember 2019

Arak: Pemimpin muslim dalam kerajaan perlu buka mata

Dr Nornajwa Ghazali

 

Promosi secara terbuka pengaruhi cara fikir generasi hari ini

TRAGEDI demi tragedi yang membabitkan pemabuk arak makin menjadi-jadi. Mudarat dan kesan buruk arak dan peminumnya tidak dapat disangkal lagi apabila masyarakat melihat dengan mata kepala mereka sendiri kesan buruk arak lebih-lebih lagi membawa kepada kemalangan jiwa orang lain yang tidak berdosa.

Bagi masyarakat Islam pengharaman arak jelas dirakamkan melalui Surah Al-Maidah 3:90. Allah SWT menegaskan dengan jelas dan tuntas dalam ayat tersebut mengenai pengharaman arak, ijmak ulama pula jelas bersepakat mengharamkan arak termasuklah mengharamkan penjualan arak, memproses arak, import eksport arak, bekerja di kilang arak dan yang seumpama dengannya.

Hakikatnya pengharaman arak tidak hanya terikat dalam konteks masyarakat Islam sahaja, bahkan agama lain turut melarang ketagihan arak disebabkan kesan buruk yang lebih banyak berbanding kebaikan.

Kesan mabuk peminum arak yang meragut nyawa orang lain perlu dipandang serius oleh pihak kerajaan. Sehingga kini masyarakat masih belum melihat komitmen dan kesungguhan kerajaan untuk mengawal atau melarang perbuatan minum arak di tempat terbuka.

Warganegara bukan Islam di Malaysia mendapat hak dan layanan yang sama seperti warganegara muslim. Kebebasan ini sepatutnya dihargai dan mereka perlu menghormati kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan yang sememangnya melarang keras pengharaman arak.

Laungan rahmatan lilalamin kerajaan bagi memenuhi maqasid syariah menjaga akal, nyawa dan lain-lain perlu diseiringkan dengan tindakan. Mana mungkin maqasid ini tercapai jika kerajaan memandang sebelah mata punca-punca yang menghalang kepada kesempurnaan maqasid tersebut.

Pimpinan muslim dalam kerajaan perlu membuka mata, menyuarakan rasa bimbang dan perlu bertindak tegas. Tiada usaha dan tindakan tegas mempromosi arak secara terbuka menyumbang kepada menormalisasikan arak dalam budaya hidup masyarakat Malaysia. Kebiasaan mempromosi arak secara terbuka akan mempengaruhi cara fikir generasi hari ini, bahkan mungkin akan datang tiada lagi wujud sekelumit rasa bersalah melihat arak dipertontonkan di tempat-tempat terbuka.

Bagi rakyat marhain terlalu banyak penulisan dan pengetahuan mengenai pengharaman arak terpampang di media-media sosial. Namun apalah daya yang boleh dilakukan oleh rakyat marhain untuk menguatkuasa dan menyekat (saddu dzara’i) promosi-promosi arak secara terbuka. Langkah pencegahan ini penting untuk membina generasi kini dan masa hadapan sebagai sebuah masyarakat yang bebas daripada arak yang nyata akan merosakkan kehidupan individu, masyarakat dan negara.

*Dr Nornajwa Ghazali-Ketua Wanita Isma Ipoh


Tiada ulasan: