PRK TG PIAI | Penganalisis politik Dr Mazlan Ali berpandangan PRK Tanjung Piai kali ini sedikit berbeza dengan lapan PRK yang telah berlangsung selepas pertukaran kerajaan.
Mengambil kira perkembangan mutakhir, pensyarah kanan Sekolah Perdana Universti Teknologi Malaysia (UTM) berkata ia adalah penanda aras untuk menilai tahap sokongan orang Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH), pada masa sama menyeimbangkannya dengan sokongan pengundi bukan Melayu.
Beliau antara lain merujuk pemeteraian Piagam Muafakat Nasional antara PAS dengan Umno, serta isu melibatkan kaum dan agama seperti Dr Zakir Naik, kempen Buy Muslim First dan siasatan berkenaan LTTE yang melibatkan adun DAP.
"Senario sekarang agak berkecamuk antara sokongan Melayu dan bukan Melayu.
Beliau menyifatkan Belanjawan 2020 yang dibentangkan bulan lalu sebagai "proMelayu dan Islam".
Selain itu, kerajaan persekutuan juga mengumumkan peruntukan RM1.3 bilion - peningkatan sebanyak RM100 juta - untuk pentadbiran Islam dan pengumuman bonus kepada kakitangan awam serta pesara kerajaan.
Parlimen Tanjung Piai mempunyai seramai 52, 986 orang pengundi berdaftar, dengan 56.88 peratus atau 30,141 adalah pengundi Melayu, Cina (41.52 peratus atau 22,000 pengundi), India (satu peratus atau 532 pengundi) dan Bumiputera Sabah (0.09 peratus atau 47 pengundi).
Sementara itu, Mazlan turut membangkitkan pertikaian dalam PH sendiri berhubung kehadiran dan kandungan ucapan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Himpunan Maruah Melayu bulan lalu.
"Selain itu kita boleh lihat juga aksi saling membantah antara parti dalam PH seperti Bersatu membantah kenyataan pimpinan DAP," katanya merujuk kritikan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP Ronnie Liu terhadap Mahathir.
Ia mengundang kecaman beberapa pemimpin Bersatu antaranya ketua pemudanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan adun Jeram Mohd Shaid Rosli.
"Perkembangan mutakhir dua senario saya sebutkan itu membawa implikasi yang sangat sukar diramal berhubung pendirian orang Melayu dan bukan Melayu terhadap PH," kata Mazlan lagi.
Kempen PRK Tanjung Piai bermula secara rasmi selepas penamaan calon semalam, manakala hari pembuangan undi ditetapkan pada 16 November.
Ia diadakan ekoran penyandang kawasan parlimen itu, Dr Mohd Farid Mohd Rafik dari Bersatu meninggal dunia pada 21 September lalu.
Pada PRU lalu, Mohd Farid menang dengan majoriti 524 undi dengan mendapat 21,255 undi, mengalahkan calon BN Wee Jeck Seng yang mendapat 20,731 undi, dan calon PAS Nordin Othman 2,962 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan