Ahad, 10 November 2019

Tak patut ada dwistandard tangani isu dalaman PH, kata Lim

 
 

Tidak sepatutnya ada dwistandard dalam menangani isu dalaman Pakatan Harapan, kata Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng, merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Perak Bersatu Ahmad Faizal Azumu mengenai DAP dan menteri kabinet.

Lim menjawab soalan wartawan yang meminta pandangannya sama ada Faizal seharusnya dirujuk kepada jawatankuasa disiplin Bersatu, seperti pemimpin DAP Ronnie Liu dirujuk kepada jawatankuasa disiplin DAP kerana mengkritik Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad.

"Isu-isu yang disebutkan akan ditangani untuk memastikan tiada dwistandard.

"Saya fikir ia akan ditangani selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, ia akan dijelaskan selepas PRK.

"Ini untuk memastikan prinsip Pakatan Harapan bahawa tiada dwistandard," kata Lim dalam sidang akhbar di konvensyen DAP Selangor yang diadakan di Petaling Jaya hari ini.

Bagaimanapun, beliau juga menegaskan bahawa semua pemimpin PH mahu melihat kestabilan dan solidariti di negeri-negeri yang diketuai PH.

Oleh itu, katanya, Faizal, sebagai menteri besar, perlu memastikan kestabilan dan kekuatan kerajaan PH di Perak tidak terjejas, terutamanya kerana mereka mempunyai majoriti kecil di negeri itu.

Pada 8 Nov lalu, satu klip video tular di YouTube. Ia memperlihatkan Faizal dan Karmaine mengadakan perjumpaan dengan pengundi Tanjung Piai.

Dalam video itu Faizal mendakwa beliau seorang diri berdepan dengan "puak-puak DAP" melindungi kepentingan Melayu di Perak.

Faizal kemudian mendakwa bahawa video yang disebarkan di media sosial itu diambil di luar konteks selain tidak merekodkan ucapan beliau secara sepenuhnya.

Kenyataan Faizal itu mendapat kritikan termasuk dari Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang menyifatkan Faizal tidak sepatutnya menjadi menteri besar

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata beliau akan meminta Faizal memberi penjelasan, sementara Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata isu itu akan dibincangkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Rasa tidak senang di akar umbi

Sementara itu, Lim turut mengakui wujud rasa tidak senang dalam kalangan akar umbi DAP untuk berkempen bagi calon Bersatu di Tanjung Piai.

Bagaimanapun, kata Lim, semua parti komponen PH perlu "bekerjasama untuk menang bersama".

"Kami tidak menafikan bahawa ada rasa tidak senang tetapi saya fikir kita semua menekankan bahawa terdapat keperluan untuk bekerjasama untuk menang bersama.

"Ingatlah bahawa apa-apa kerugian untuk PH juga kerugian bagi setiap parti komponen, jadi penting untuk kita berusaha ke arah objektif bersama," katanya.

Lim juga percaya bahawa pemimpin PH dapat mengatasi masalah berkenaan secara progresif.
PRK Tanjung Piai diadakan selepas anggota parlimennya Dr Mohd Farid Mohd Rafik, meninggal dunia akibat serangan jantung pada Sept lalu.

Karmaine yang mewakili PH berdepan dengan bekas anggota parlimen Tanjung Piai selama dua penggal, Wee Jeck Seng dari MCA, yang bertanding di bawah logo BN.

Calon lain ialah Badhrulhisham Abdul Aziz mewakili Berjasa, Gerakan mempertaruhkan Wendy Subramaniam dan calon bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Kempen telah bermula Sabtu lalu dan pengundi Tanjung Piai akan memilih wakil rakyat baru pada 16 Nov nanti.


Tiada ulasan: