Senator MCA, Ti Lian Ker menyifatkan Muafakat Nasional lebih inklusif jika dibandingkan dengan Kongres Maruah Melayu.
Beliau
berkata, Muafakat Nasional merangkumi kompromi, toleransi dan bersifat
inklusif yang jauh berbeza dengan kongres yang dihadiri pemimpin Bersatu
itu.
Ti berkata demikian apabila ditanya tentang kerjasama yang semakin erat ketika berkempen di Tanjung Piai yang menyaksikan MCA berkongsi pentas bukan sahaja dengan rakan-rakan kompomem BN Umno dan MIC, tetapi juga dengan PAS.
"Muafakat Nasional adalah konsep untuk menggerakkan rakyat Malaysia ke hadapan.
"Ia mengiktiraf pelbagai budaya, kemajmukan dan menegakkan perlembagaan.
"Inilah
cara ke hadapan untuk Malaysia yang baru ... terutamanya apabila
Bersatu memilih untuk merampas aspirasi pendekatan bukan perkauman bagi
Malaysia seperti yang dijanjikan deklarasi Setapak DAP (pada 1967)
Malaysian Malaysia merentasi bangsa dan agama," katanya kepada
Malaysiakini.
Ti berkata, walaupun majoriti orang Cina mengundi
untuk perubahan kerajaan, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) telah
menggunakan kedudukan untuk menganjurkan konvensyen ekonomi berasaskan
perkauman pada awal tahun dan diikuti dengan kongres kontroversi mengenai maruah Melayu.
Dalam
ucapan pembukaannya di ceramah BN-PAS pada Rabu lalu, presiden MCA Wee
Ka Siong merujuk kepada Muafakat Nasional sebagai satu bentuk perpaduan
pembangkang.
Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong, juga mengucapkan terima kasih
kepada para penyokong ketika kempen dengan "Salam Muafakat Nasional,"
sebelum menambah bahawa konsep Muafakat Nasional adalah untuk
pembangkang bekerja sama dengan sesuatu yang lebih baik.
Ti,
bagaimanapun, tidak sehaluan dengan kenyataan dibuat Setiausaha Agung
PAS, Takiyuddin Hassan bahawa piagam Muafakat Nasional jelas menyatakan
bahawa Umno juga bermakna BN, MCA dan MIC, dan PAS bermakna Gagasan
Sejahtera membabitja Berjasa dan Ikatan.
Apabila ditanya sama ada
PAS dan MCA kini rakan sekutu dalam gabungan itu, Ti berkata parti itu
tetap boleh berdiri bersama DAP dalam isu-isu tertentu.
"Kita juga
boleh berdiri dengan DAP pada platform yang sama mengenai isu-isu
seperti UEC dan sebagainya untuk menekan kerajaan, tetapi apakah itu
menjadikan kita sebuah pakatan?"
Beliau berkata MCA terbuka untuk bekerjasama dengan mereka yang ingin mempromosikan keterangkuman dan toleransi.
"MCA dibentuk untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berpegang pada prinsip toleransi, kompromi dan inklusif di atas.
"Inilah semangat kesederhanaan dan pembinaan konsensus yang menjadi kunci kejayaan negara selama ini, "kata Ti.
Bercakap kepada Malaysiakini
Ti menambah: "Kami tidak pernah katakan ia pakatan, ia berbeza. Tetapi
konsep Muafakat Nasional membawa Malaysia ke arah lebih baik," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan