Jumaat, 15 November 2019

PRK Tanjung Piai: Hak rakyat yang dinafikan

AMINUDDIN YAHAYA



Ramai penganalisis politik menganggap PRK Tanjung Piai kali ini adalah kritikal untuk kedua-dua blok parti politik iaitu BN dan Pakatan Harapan.

Jika BN menang, maka akan membuatkan PH yang selaku kerajaan menjadi semakin tertekan dan mengesahkan ia hanya akan memerintah selama sepenggal sahaja.

Jika PH menang pula, maka akan membuktikan bahawa Muafakat Nasional (MN) sebenarnya tidak memberi apa-apa kesan kepada lanskap politik negara.

PRK ini juga telah menyaksikan bagaimana dalam keadaan terdesaknya kedua-dua belah pihak menabur pelbagai 'gula-gula' kepada para pengundi terutama PH.

Kalau dahulunya mereka menyelar BN kerana 'rasuah pilihan raya' tetapi nampaknya segala kata-kata itu terpaksa mereka telan kembali apabila pelbagai 'bantuan' disalurkan kepada penduduk Tanjung Piai sempena PRK kali ini.

Yang peliknya ialah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat diam seribu bahasa walaupun dahulunya, pengerusi SPR (yang sekarang) begitu lantang mempejuangkan ketelusan dan integriti dalam pilihan raya.

Mana pula pejuang-pejuang Bersih? Kenapa mereka senyap? Jangan jadi hipokrit. Media-media juga tidak memberikan liputan yang sewajarnya kepada semua pihak.

Kalau semasa waktu kerajaan BN dahulu, TV1, TV2, TV3 dan semua media utama hanya memaparkan dan mempromosikan calon BN, tetapi kini apabila PH memerintah, perkara yang sama juga berlaku.

Parti-parti lain seperti Gerakan dan Berjasa langsung tidak diberi ruang di media-media utama. Apatah lagi calon-calon bebas.

Di manakah keadilan dan kebebasan media yang dilaung-laungkan? Atau memang media telah ditarik hidungnya oleh parti tertentu?

Mungkin memang benarlah seperti kata orang-orang dahulu, dua kali lima atau lima sahaja. Rakyat dinafikan hak untuk mendengar penjelasan dari setiap calon. Akhirnya, parti-parti kecil akan hanya bergantung pada promosi melalui kempen tradisional semata-mata sedangkan parti-parti besar terus dilonjak naik melalui media utama.

Mungkin anak-anak boleh melihat dan menilai melalui media sosial tetapi bagi orang-orang kampung yang mahukan perubahan dan muak dengan politik jelik, mereka amat bergantung kepada siaran televisyen sahaja. Tetapi malangnya medium ini menjadi pusat propaganda parti tertentu sahaja.

Sebagai contoh, kalaulah nak dibandingkan pada kualiti calon pada PRK kali ini, iaitu dari segi akademik dan pemikiran, ramai tidak akan menyangkal kehebatan calon dari parti Berjasa iaitu Dato Dr Ir Ts Badruhisham Abdul Aziz.

Negara memerlukan pemimpin yang berwibawa seperti ini yang bukan saja profesional, mampu menonjol di peringkat nasional dan antarabangsa, dihormati oleh pelbagai pihak, malah pernah menjadi jurucakap kepada kerajaan dalam isu-isu alam sekitar terutamanya dalam isu Lynas.

Yang lebih utama dari itu ialah beliau adalah seorang Islamis yang komited dengan perjuangan memperkasakan agama Islam.

Tetapi adakah beliau mendapat liputan media?

Saya yakin jika beliau diberikan ruang yang sebaiknya, dan rakyat diberi peluang untuk mendengar penjelasan dan hujahan beliau, maka saya yakin ramai mengundi beliau dan inilah yang membimbangkan pihak pemerintah.

Sebab itulah sehingga hari ini ramai yang tertanya-tanya, di manakah yang dikatakan sebagai Malaysia Baharu itu?

Wallahualam.


AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).


Tiada ulasan: