Khamis, 14 November 2019

Calon Bersatu hanya ‘keldai’ DAP

sitifatimah

 

Tak masuk akal jika Karmaine menang, Chin Tong dilantik wakil Cina

SEKALI lagi maruah calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini dicalar oleh pemimpin PH sendiri.

Jika sebelum ini, Syed Saddiq tersasul dengan memanggilnya sebagai ‘arwah’, kini Lim Guan Eng pula merendah-rendahkan keupayaan komunikasi antara calon itu dengan komuniti Cina di Tanjung Piai dengan melantik Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong sebagai wakil Cina.

“Calon PH orang Melayu dan beliau berdepan pesaing berketurunan Cina (Wee Jeck Seng dari MCA), dan sesetengah penduduk berasa mungkin wujud masalah komunikasi jika mereka mahu meminta bantuan.

“Jadi jika ada apa-apa, anda boleh menghubungi Chin Tong dan beliau boleh membantu. Chin Tong boleh hubungi saya secara langsung dengan telefon,” kata Lim pada satu ceramah di Pekan Nanas, lapor media.

Pedang hairan dengan cadangan Guan Eng ini. Masalah komunikasi bagaimana yang dimaksudkan? 

Adakah orang Cina Tanjung Piai tak reti berbahasa Melayu atau bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan Karmaine? 

Adakah Karmaine tidak mesra dengan pengundi Cina kerana dia datang daripada parti Bersatu? 

Mengapa perlu pihak ketiga (Chin Tong) sebagai penghubung sekiranya rakyat ada masalah dan memerlukan bantuan? Apakah peranan Karmaine sebagai Ahli Parlimen jika dia menang?

Hakikatnya, isu sebenar di sini bukanlah isu komunikasi. Parti tamak haloba DAP yang paling dominan dalam kerajaan hari ini tidak risau langsung apabila calon Melayu PH yang dipertaruhkan di PRK Tanjung Piai. Perkara ini tidak perlu disembunyikan lagi.

Umum mengetahui sesiapa pun yang bertanding dan sesiapa pun yang menang, DAP tetap dominan berkuasa di Putrajaya dan mampu melakukan apa sahaja. Jika Karmaine menang sekalipun, dia tidak mampu melakukan apa-apa usaha, mahupun tuntutan dan desakan kerana keputusan besar di tangan DAP menerusi Chin Tong dan Guan Eng.

Jadi, apakah peranan Karmaine selaku calon? Tidak ada apa-apa. Hanyalah keldai tunggangan DAP semata-mata. Jika tidak, mengapa Guan Eng mengumumkan pelantikan Chin Tong sebagai wakil Cina? Tak masuk akal.

Kalaulah Pedang berada di tempat Karmaine sekarang, pasti Pedang bersuara tegas menempelak Guan Eng. “Eh, kenapa nak lantik Chin Tong? Habis apa fungsi aku? Aku YB, aku pun boleh selesaikan masalah orang Cina di sini? Kenapa perlu ada Chin Tong?” Ini kalau Pedanglah… 

Tapi malangnya, Karmaine memilih untuk tidak menjawab abang besar DAP itu. Inilah drama yang sering berlaku dalam PH. Pedang yakin ini maksud tersirat yang DAP tidak mahu Karmaine jadi wakil komuniti Cina. Permainan kotor barangkali. Kerana kuasa!

Menteri Besar Perak juga malu alah dengan kenyataannya dalam video yang tersebar di media sosial.

 Di belakang, kutuk DAP kononnya dialah hero dan satu-satunya yang berani lawan DAP. Di depan media, tak berani pula menjelaskan apakah sebenarnya yang berlaku. Takut ke?

Apa yang pasti, Ahmad Faizal Azumu tidak seberani Ronnie Liu yang mengutuk Bersatu secara terbuka dengan menulis di Malaysiakini bahawa PH masih boleh membentuk kerajaan tanpa Bersatu.

Pedang yakin ramai Melayu dalam PH sudah tidak tahan dengan DAP, kerana Melayu Bersatu memiliki DNA UMNO. Darah pejuang Melayu tetap ada, tinggal lagi takut bersuara kerana risau hilang kuasa.

Kata Pedang: PAS sudah insaf bertahaluf dengan DAP. Bersatu bila lagi? PAN jangan sebutlah, dia setia pertahan DAP walau apa terjadi!

Tiada ulasan: