KATA MP l Dalam kawasan Parlimen
Tanjung Piai terdapat sebuah kampung bernama Rimba Terjun. Nama kampung
ini diambil dari kisah benar kejadian rimba runtuh dan terjun ke laut
Selat Melaka akibat hakisan.
Pada 16 November lalu, kekuatan parti
Pakatan Harapan (PH) yang sedang memerintah juga terhakis teruk
sehingga kalah dalam skala besar yang parah pada pilihan raya kecil
(PRK) Tanjung Piai.
Untuk satu dua hari ini penyokong MCA dan BN
berhak untuk bergembira atas kejayaan mereka di PRK Tanjung Piai ,
samalah seperti penyokong PH pernah berpesta selepas berjaya menjatuhkan
BN yang telah berkuasa lebih 60 tahun pada pilihan raya umum 9 Mei
2018.
Pemimpin dan penyokong PH janganlah terlalu bersedih sangat
hingga hilang semangat apabila dibadai teruk di Tanjung Piai Sabtu lalu.
Kita di pihak PH patutlah bersyukur kekalahan PRK Tanjung Piai berlaku
sekarang iaitu 19 bulan sahaja selepas PH menjadi kerajaan.
Kekalahan
ini berlaku di peringkat awal. Masih ada masa untuk PH membuat bedah
siasat atau post-mortem. Mengkaji di mana salah dan silap. Belum lagi
terlambat. Memang biasalah dalam kehidupan, bila terantuk barulah
tengadah. Kehidupan politik pun begitu juga.
Penyokong PH jangan
lemah semangat. Kita baru kalah satu pertempuran di Tanjung Piai. Kita
belum kalah peperangan. PRU-15 akan sampai dalam tiga setengah tahun
lagi. PH hanya kalah empat dari sembilan pilihan raya kecil sejak 9 Mei
2018.
PKR terlibat dalam empat PRK itu dengan keputusan tiga
menang dan satu kalah. DAP pula terlibat dalam tiga PRK dengan keputusan
dua menang dan satu kalah. Manakala parti Bersatu terlibat dalam dua
PRK iaitu di Semenyih dan Tanjung Piai, malangnya kedua-duanya tewas.
Dari
segi stastik BN tewas lima kali manakala PH tewas empat kali. Kalau
dalam liga bolasepak, PH masih dikira pihak yang menang. Hanya yang
bimbang PH tewas empat kali hampir berturut-turut bermula dari Cameron
Highland, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai.
Saya tidak mahu peristiwa rimba terjun akibat hakisan di Tanjung Piai menjadi metafora keruntuhan PH berulang.
Saya
seorang yang positif. Saya yakin PH boleh bangkit semula. Resepi PH
untuk terus menang dalam PRU-15 akan datang masih ada dan ampuh.Resepi
kemenangan itu ada dalam Buku Harapan yang merupakan Manifesto PH dalam
pilihan raya umum yang lalu.
Rakyat puji manifesto PH.
Badan-badan bukan kerajaan (NGO) sokong manifesto PH. Buku Harapan iaitu
manifesto PH itu masih jadi dokumen rujukan. Rakyat percaya janji-janji
yang terdapat dalam Buku Harapan itu.
Jadi tidaklah pelik kalau
rakyat di Tanjung Piai dan di pilihan raya kecil yang lain di mana PH
kalah. Faktornya adalah kerana kerajaan PH yang memerintah tidak
menunaikan janji.
Tidakkah
kita lupa satu lirik lagu Melayu yang antara lainnya berbunyi....."
Jangan suka berjanji, nanti tidak ditepati, kerana janji membawa
akibat..."?
Sebagai ahli parlimen PH yang mendukung kerajaan saya
berharap Majlis Presiden Pakatan Harapan segera melakukan bedah-siasat
atau post-mortem untuk mencari punca-punca utama kekalahan di PRK
Tanjung Piai.
Saya percaya sangat kepimpinan tertinggi PH tahu apa
yang patut dilakukan. Bagi saya, satu darinya ialah kerajaan yang ada
sekarang perlu laksanakan manifesto PH yang telah kita dokumenkan di
dalam Buku Harapan.
Saya berpendapat bagi mempastikan gabungan PH
terus berada dalam landasan yang betul, maka peranan Majlis Presiden PH
hendaklah diperkasakan supaya Majlis Presiden PH yang memimpin kerajaan
PH, bukan sebaliknya. *HASSAN KARIM ialah anggota parlimen Pasir Gudang dan pemimpin PKR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan