Rabu, 11 September 2019

Pemuda Umno risau bukan bumi jadi CEO Sime Darby Property

MALAYSIAKINI

   

Pemuda Umno Wilayah Persekutuan membangkitkan kebimbangan berkaitan spekulasi ahli korporat Voon Tin Yow akan dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Sime Darby Property.

Perkara itu dibangkitkan walaupun Sime Darby bulan lepas telah menafikan penyertaan CEO syarikat hartanah Ecoworld Developemnent Group Berhad itu.

“Pelantikan Voon sekiranya berlaku adalah perkara yang membimbangkan kerana Sime Darby merupakan platform untuk membantu peniaga dan profesional Melayu supaya dapat bersaing dalam dunia perniagaan yang penuh cabaran.

“Voon mungkin sahaja tidak dapat menghayati perjuangan ini tetapi beliau juga merupakan sebahagian daripada Ecoworld (syarikat) yang secara sifatnya sentiasa mengejar keuntungan dan bukannya memberi keutamaan kepada rakyat,” kata Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohamed Nizham Abdullah Hamidi.

Mohamed berkata demikian pada sidang media di Yayasan Warisan Batu, Kuala Lumpur hari ini.
Voon Tin Yow
Voon menerajui Ecoworld sejak 2015.

Bulan lepas pemangku CEO Sime Darby Property, Wan Hashimi AlBakri Wan Amin Jaffri, berkata pihaknya tidak mengetahui sama ada Voon akan dilantik untuk menerajui barisan pengurusan tertinggi pemaju hartanah itu.

Sementara itu, Mohamed Nizham mendakwa CEO baru akan menerima pendapatan bulanan jauh lebih tinggi dari penjawat sebelumnya.

“Yang lebih memeranjatkan adalah, Voon Tin Yow yang juga merupakan Pengarah Eksekutif di Ecoworld bakal mendapat pendapatan sebanyak RM 265,000 sebulan berbanding pemangku CEO hanya menerima gaji berjumlah Rm 62,000,” katanya.

Mohamed Nizham menyuarakan kebimbangan barisan kepimpinan yang didominasi bumiputera akan dirombak.

“Kami merasakan ia adalah satu tanggungjawab untuk kes ini diulas secara umum kerana ia melibatkan kepentingan rakyat terutamanya bangsa Melayu yang merupakan bangsa majoriti,” katanya.

Selain itu, Mohamed Nizham juga menjelaskan perkara itu sudah disuarakan oleh bekas menteri Rais Yatim dan Penasihat Media Perdana Menteri, A Kadir Jasin.

Pada 26 Ogos yang lalu, Kadir Jasin turut mempersoalkan gaji yang bakal diterima oleh CEO syarikat Sime Darby yang baru.

“Adakah benar gaji pemangku CEO sekarang (Bumiputera) dalam Rm 60 000 sebulan dan gaji yang dicadangkan untuk CEO baru (bukan Bumiputera) RM 260 000 lebih.

“Adakah benar hanya 40 peratus pengurusan kanan Sime Darby Property terdiri daripada Bumiputera,” katanya menerusi kenyataan di akaun Facebook.

Selain itu, Rais turut mempersoalkan perkara yang sama melalui akaun Twitternya dan beliau menyifatkan sebagai pelanggaran kepada sistem ekonomi bumiputera.


Tiada ulasan: