Selasa, 17 September 2019

Jerebu: Jumlah pesakit luar hospital kerajaan meningkat

fazleen safina

 

Kebanyakan pesakit alami mata kering, konjungtivitis tak berjangkit

PUTRAJAYA – Terdapat peningkatan antara 20 peratus dan 30 peratus pesakit luar di hospital-hospital kerajaan, berikutan situasi jerebu yang melanda negara, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, terdapat peningkatan 30 peratus pesakit di perkhidmatan oftalmologi yang membabitkan kes mata kering dan alergi konjunktivitis.

“Kami ingin tegaskan fasiliti kesihatan khususnya klinik Kementerian Kesihatan bersiap siaga untuk menangani peningkatan mendadak (kes) akibat jerebu,” katanya kepada pemberita, selepas melancarkan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia yang Pertama dan Seminar Keselamatan Pesakit, di sini, hari ini.

Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kementerian Kesihatan Dr Nor Fariza Ngah berkata, kebanyakan pesakit yang mendapatkan rawatan di 42 hospital kerajaan mengalami alergi konjungtivitis yang tidak berjangkit.

Tetapi, ia menyebabkan ketidakselesaan seperti mata merah, berair dan menyebabkan kes mata kering meningkat, katanya.

“Kita nasihati pesakit pakai artificial tears yang sesuai dan kurangkan pendedahan kepada aktiviti luaran,” katanya yang juga pakar perunding mata di Hospital Shah Alam.

Beliau menegaskan hospital Kementerian Kesihatan mempunyai bekalan ubat yang mencukupi, terutamanya untuk menghadapi situasi bermusim sedemikian dan telah belajar daripada musim jerebu yang lepas supaya lebih bersedia.

Dr Nor Fariza berkata, pesakit yang mendapatkan rawatan mata di Hospital Shah Alam berganda daripada 40 orang sehari kepada 80 orang sehari berikutan jerebu. -Bernama


Tiada ulasan: