AG patut bertindak pantas tapi pilih jalan sukar selesaikan kes: PPMM
BANGI– Tiada apa lagi yang perlu ditunggu melainkan meneruskan semula
siasatan dan pendakwaan ke atas pihak yang terbabit dalam kematian
anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, tahun lalu.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim
Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, sejak awal lagi
Peguam Negara sudah diminta bertindak pantas menyelesaikan kes
berkenaan, namun memilih jalan ‘jauh’ untuk ia diselesaikan.
“Apakah ada agenda tertentu yang mahu
dilaksanakan? Sudah ada perintah Mahkamah Tinggi Sivil mengenai
pertikaian kes kuil tersebut, sudah ada persetujuan dan keputusan.
“Sekarang Koroner juga telah membuat keputusan. Jadi tunggu apa lagi?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bersyukur dengan keputusan Mahkamah
Koroner Shah Alam, beliau bagaimanapun mempersoalkan status keberadaan
beberapa individu yang pernah direman dan dibebaskan atas jaminan
sebelum ini.
“Bagaimana dengan siasatan ke atas mereka
dan adakah Peguam Negara yang telah diarahkan menunjuk sebab kenapa
tidak boleh disabitkan kerana menghina mahkamah akan memberi izin untuk
pendakwaan atau tidak?,” soalnya.
Selepas 41 hari prosiding inkues
dijalankan, Mahkamah Koroner hari ini memutuskan kematian Muhammad Adib
yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha
Mariamman, USJ 25, Subang Jaya tahun lalu, adalah akibat perbuatan
jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.
Koroner Rofiah Mohamad berkata, mahkamah
menerima teori dikemukakan Prof Dr Shahrom bahawa kecederaan dialami
Muhammad Adib adalah disebabkan perusuh menendang pintu van Unit Bantuan
Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang mengena dada Allahyarham sehingga
menyebabkan Muhammad Adib tersepit.
Sebanyak 30 saksi dipanggil termasuk
beberapa saksi pakar memberi keterangan sepanjang inkues itu yang
bermula pada 11 Februari lepas.
Antara saksi pakar yang dipanggil adalah
Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi,
Perunding Kardiotorasik Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) Dr S.Anand
dan Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom
Abd Wahid.
Sebanyak 137 bahan bukti dikemukakan
dengan pelbagai hujahan dilontarkan oleh pihak terlibat sebelum
prosiding berkenaan ditutup pada 24 Julai lepas.
Inkues dikendalikan Timbalan Pendakwa
Raya selaku pegawai pengendali Faten Hadni Khairuddin, manakala peguam
yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Syazlin Mansor, Mohd Kamaruzaman
Abdul Wahab, Ahmad Taufiq Baharum, Yahaya Othman dan Zamri Ibrahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.