Isnin, 9 September 2019

Ingat! Penyatuan bukan sekadar menang PRU15, kalahkan PH

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

 

Agenda perpaduan UMNO-PAS mesti atasi kemaruk kuasa dan undi


PIAGAM antara UMNO-PAS yang disebut Piagam Penyatuan Ummah akan dimeterai Sabtu ini, 14 September 2019. Diharapkan ia bukan sekadar untuk menghadapi PRU15, atau sekadar mahu mengalahkan PH.

Tetapi sudah tentu agenda tersebut lebih besar daripada itu. Agenda ummah (agama) hendaklah mengatasi agenda politik dan apa jua agenda. Agenda penyatuan ummah untuk 100 tahun akan datang, demi agama, bangsa dan negara, demi anak cucu cicit kita semua.

Kembalikan apa yang telah dihilang. Pastikan rakyat tidak merana hasil perbuatan pada masa lalu. Pastikan generasi akan datang tidak mengutuk kita semua.

Kita perlu belajar sejarah, mengambil iktibar sejarah, supaya sejarah mengajar kita, bukan sejarah mengutuk kita.

Sekadar ingatan, jika sekadar untuk menang PRU15 dan mengalahkan PH, dendam pun terbalas, agenda perpaduan tidak akan bertahan lama, terkuburlah tidak berapa lama selepas itu.

Agenda perpaduan ummah mesti mampu mengatasi ego, kemaruk kuasa, kemaruk undi dan nafsu nafsi.

Letakkan Allah dan agamaNya di hadapan, pasti akan ruang dan jalan untuk mendepani masa depan yang lebih gemilang. Pastinya, bukan Melayu dan bukan Islam turut akan terkesan dengan terpancarkan keadilan Islam itu.

Ingat, jika kamu tolong Allah, nescaya Allah akan tolong kamu.

Kita perlu belajar daripada pemimpin bumiputera Sabah dan Sarawak dalam era politik baharu ini. Bagaimana mereka menjaga dan mempertahankan hak-hak bumiputera daripada dirodok dan diradak oleh ultra kiasu.

Saya perhatikan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) jauh lebih bumiputera dalam menjaga hak-hak mereka. Gabungan atau perpaduan sudah tentu dapat bertahan lama kerana mereka tahu hala tuju dan matlamat yang hendak dicapai.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dengan tegas mengatakan selaku negarawan, kita akan mempertahankan Sarawak dari sudut hak-haknya mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Malaysia, dan Perlembagaan Sarawak. GPS akan meneruskan usaha membangunkan Sarawak dalam era baharu, mempertahankan hak Sarawak dan rakyatnya.

Bagaimana dengan kita di Semenanjung? Melayu Islam Semenanjung mudah cair apabila diugut ultra kiasu. Kerana takut undi ultra kiasu beralih arah, Melayu Islam sanggup beri apa yang sahaja yang diminta ultra kiasu, termasuk menggadaikan hak-hak Melayu.

Ingat! Lanskap politik dan ‘real’ politik Malaysia, berbeza dengan negara Islam yang lain.

Populasi negara kita adalah 69 peratus Melayu Islam dan bumiputera, 23 peratus Cina, India 6.9 peratus, selebihnya lain-lain. Daripada jumlah ini, umat Islam berada di sekitar 61 peratus.

Dalam maksud, majoriti umat Islam tidak besar. Angka ini masih menggusarkan saya kerana data menunjukkan masih ramai tidak sembahyang, terjebak dalam gejala sosial, rempit, buang anak, dadah dan sebagainya.

Bermakna, untuk menang PRU tidak ada cara lain umat Islam mesti bersatu, mesti kuat, selain mendapat sedikit undi daripada bukan Islam yang tidak ultra kiasu.

Umat Islam tidak boleh sama sekali berpecah. Selepas PAS keluar daripada kerajaan campuran 1978, kedua-dua parti Melayu Islam terus bermusuh sehingga Melayu Islam hilang kuasa pada 2018.

Kesedaran itu hanya datang setelah ‘kemenangan ultra kiasu’ dalam PRU14. Baharu UMNO-PAS sedar bahawa mereka saling perlu-memerlukan., dengan disokong oleh Berjasa dan Ikatan.

Sebelum itu, semua dengan ego masing-masing. Perlawanan tiga penjuru langsung dianggap sebagai medan untuk menunjukkan kekuatan masing. Akhirnya, berpuith mata. Tindakan tidak menguntungkan Islam.

Persoalan timbul setelah termeterai agenda perpaduan ummah, antara UMNO-PAS siapa yang akan mengetuai dan mendahului. Bendera siapa yang akan berada di hadapan antara UMNO-PAS?

Orang UMNO kata, sudah tentu UMNO perlu mendahului, sebab UMNO lebih lama, lebih senior.  
UMNO tidak boleh tenggelam dengan cara Islam PAS. Bendera UMNO tidak boleh tenggelam dalam bendera PAS.

Lagipun, PAS lahir daripada sayap ulama UMNO. PAS asal-usulnya daripada UMNO. Lagipun ahli UMNO lebih ramai daripada ahli PAS.
 
PAS pun yang selama ini menjadi pembangkang akan membalas dan berkata; “ada aku kisah”. “Selama ini pun tanpa UMNO, PAS telah biasa menjadi pembangkang. UMNO yang hilang kuasa, bukan PAS.

Siapa lebih memerlukan siapa. UMNO memerlukan PAS atau PAS memerlukan UMNO. Ingat sejarah, kita saling perlu memerlukan, jika mahukan Islam menyinari dan kembali kuat. Jika tidak, terus berpecah, sejarah akan mengajar kita.

PAS perlu keluar daripada BN dalam tahun 1978 setelah merasa ‘dikhianati’ UMNO. PAS tidak pernah lupa akan sejarah ini. Saya tidak fikir PAS sebodoh itu untuk melupakannya.

Mungkinkah sejarah tersebut akan berulang selepas ini. Jawapannya, mungkin TIDAK…

Selagi kita meletakkan Allah (Islam) di hadapan, insyaAllah Allah akan merahmati kita. Selagi itu kita akan selamat. Justeru, letakkan agenda ummah (Islam) mengatasi segala-galanya.

Antara UMNO-PAS ada dua versi Islam. Islam cara UMNO dan Islam cara hidup.

Jika UMNO merasakan meletakkan kepentingan Islam di hadapan mengikut versi UMNO bukan terikut-ikut dengan rentak Islam versi PAS. Maka UMNO perlu tonjolkan versi Islam UMNO itu, termasuk cadangan UMNO meminda Perlembagaan untuk meletakkan kedudukan Islam berada di atas selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

PAS daripada dahulu lagi sudah dan pernah berkata, Islam ada lah dasar perjuangan PAS. PAS akan dibubarkan jika UMNO meletakkan kepentingan Islam di atas dan segala-galanya

Persoalannya, apakah versi Islam yang dimaksudkan PAS itu? Adakah versi Islam PAS mahukan menjadi Malaysia sebuah negara Islam dan melaksanakan undang-undang hudud?

Jika begitu keadaannya, mungkin ini tidak akan menjadi UMNO selesa. Begitu juga dengan bumiputera Sabah dan Sarawak.

UMNO-PAS perlu ingat perpaduan ummah dalam kalangan mereka belum tentu menjadikan kedudukan mereka selesa, tanpa sokongan bumiputera Sabah dan Sarawak. Maknanya, apa jua tindakan, pastikan perasaan bumiputera dijaga.

Pada hemat saya, apapun versi Islam UMNO dan PAS, buat masa ini, untuk 100 tahun akan datang, UMNO-PAS mesti bersetuju dalam beberapa perkara berikut.

Lupakan soal label negara Islam dan hudud. Apa yang penting hari ini kembalikan semula apa yang telah hilang. Kembalikan kontrak sosial yang telah dicabuli.

Pertama, kembalikan kedudukan kedaulatan Islam sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Jangan biarkan agama Islam dirobek lagi. Umat Islam berhak hidup di bawah naungan agama Islam sebagai agama persekutuan, tanpa mengambil hak orang bukan Islam.

Kedua, kembali kuasa Raja-Raja Melayu sebagai ketua negara dan pelindung kepada Islam dan rakyat Malaysia, terutama orang Melayu dan bumiputera. Raja-raja mesti dihormati sebagai ketua negara. Tidak ada sesiapapun boleh menghina Raja-Raja Melayu. Mereka yang menghina ketua negara ini mesti dihadapkan ke muka pengadilan. Gubal undang-undang lese mesjeste seperti yang ada di negara-negara beraja.

Ketiga, kembalikan kedudukan hak istimewa, Islam, Melayu Islam dan bumiputera. Sebagai pribumi da tuan tanah negara ini, hak-hak mereka mesti dikekalkan dan tidak boleh dirobek sama sekali. Semua ini sudah termaktub dalam perlembagaan tidak usah dipertikai lagi.
 
Keempat, kembalikan kedudukan Bahasa Melayu yang selaku Bahasa negara atau Bahasa kebangsaan. Bahasa yang menyatukan rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia wajib mengetahui Bahasa Melayu. Kebolehan berbahasa mesti diwajibkan dalam menjadi warganegara.

Kelima, sistem Pendidikan kebangsaaan mesti diperkasakan. Pendidikan mesti bersifat menyatu bukan memisahkan. Perkasakan ideakan Sekolah Wawasan yang telah gagal selama ini kerana ditentang oleh ultra kiasu.

Keenam, Sekolah Vernakular dirombak semula ikut acuan negara bukan acuan Dong Zong. Bina kerosakan yang telah dibuat selama ini.

Saya ingatkan bangsa saya sendiri, kamu jangan mencabar ketuanan orang Melayu di buminya sendiri dengan melaksanakan Malaysian Malaysia.

Kempen boikot barang bukan Melayu sudah pun serba sedikit dirasai. Benar, Cina pegang kuasa ekonomi. Tetapi ingat, Melayu (Islam) ada kuasa beli.

Jika keadaan terpaksa, tidak mustahil umat Islam akan boleh bertindak seperti mana yang telah berlaku. Bukan kita anti Islam, tetapi sebagai satu cara untuk mengajar pemegang kuasa ekonomi supaya jangan terlalu kurang ajar.

Akhirnya, 14 September 2019, adalah hari untuk menguji keikhlasan umat Islam melibatkan du aparti terbesar umat Islam, UMNO-PAS, terhadap agenda perpaduan umat. PRU15 adalah penentu kepada kejayaan agenda ini. Jika berjaya, inilah titik permulaan,

Namun, jika gagal, memang sukar untuk umat Islam UMNO PAS untuk bangkit selepas ini kerana berleluasa dan bermaharajalenya ultra kiasu.

Jika menang, jadikan ia sebagai titik permulaan untuk kembalikan yang telah hilang, baiki apa yang telah dirobek.

Bukan Islam tidak ditekan
Perpaduan ummah capai matlamat
Sifat Islam memberi keadilan
Pastikan rakyat hidup selamat


Tiada ulasan: