KES 1MDB | Selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Najib Razak ketika itu, bekas ketua setiausaha peribadinya Azmin Alias mencampakkan sekeping fail dan menjerit "Duit 1MDB-lah bro!", kata seorang saksi ketika mengimbas kejadian berkenaan.
Amhari Efendi Nazaruddin memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa Allahyarham Azlin kelihatan tertekan selepas mesyuarat di Pejabat Perdana Menteri, antara Januari atau Februari 2015.
Amhari berkhidmat untuk bekas perdana menteri itu di bawah pengawasan Azlin.
Menurut Amhari, beliau masih ingat kejadian itu kerana sikap Azlin pada hari itu berbeza sama sekali dengan sikapnya yang penyabar.
"Pada hari itu, saya tiba di Pejabat Perdana Menteri dan menunggu Azlin di pejabatnya kerana beliau telah pergi ke tingkat lima untuk bertemu Najib.
"Sebaik sahaja dia kembali, saya dapat melihat dia berada dalam mood yang tertekan dan dia cuba untuk melepaskan kekecewaannya dengan menaikkan suaranya, menjerit 'Duit 1MDB-Lah bro!. Pada masa yang sama, beliau menghempaskan fail yang dipegangnya.
"Saya masih ingat keadaan itu dengan jelas kerana setakat yang saya tahu dia, Azlin adalah kool, sopan dan tidak pernah bertindak sebegitu sebelum ini. Dia bukan jenis orang yang meninggikan suaranya," katanya.
Amhari, yang bertugas sebagai pegawai khas kepada Najib sejak 2008 hingga tahun lepas, merupakan saksi kelapan pendakwaan dalam perbicaraan jenayah terhadap bekas perdana menteri itu berkaitan skandal 1MDB.
Saksi itu berkata beliau percaya reaksi Azlin itu mempunyai kaitan dengan liputan media mengenai isu 1MDB, termasuk di Petrosaudi, perbelanjaan Jho Low menggunkan wang 1MDB, pembelian hartanah mewah oleh Riza Aziz (anak tiri Najib) dan pemindahan dana 1MDB ke akaun bank yang mencurigakan.
"Saya boleh faham tekanan dia alami kerana dia salah seorang daripada mereka yang paling tahu mengenai 1MDB.
"Dia adalah orang yang berurusan dengan perkara itu di bawah arahan Jho Low, dan setakat yang saya tahu, dia adalah salah seorang yang bertanggungjawab untuk merujuk isu-isu kepada Najib," katanya.
Untuk makluman, Azlin berkhidmat sebagai ketua setiausaha sulit kepada Najib sehinggalah kematiannya dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada April 2015.
Turut terbunuh dalam kemalangan itu adalah penasihat Najib, Jamaluddin Jarjis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan