Oleh Fazleen Safina
Tak usahlah jadi ayam berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi
BANGI– Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya mendidik dahulu rakan politiknya,
DAP supaya menghormati dan menerima identiti negara yang berasaskan
Islam, Melayu serta institusi diraja, sebelum menggesa wakil rakyat di
setiap peringkat menguasai bahasa Melayu.
Sekalipun gesaan itu benar, Naib Presiden
Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Ustaz Mohd Hazizi Abd Rahman
berkata, isu berkenaan bukanlah masalah ‘pokok’ kepada pelbagai
pertikaian yang timbul sejak kebelakangan ini, bahkan dahulu lagi.
Beliau berkata, jika PKR – selaku rakan
karib DAP – boleh mengubah sikap parti tamak haloba berkenaan dan
menerima baik asas identiti negara seperti yang termaktub Perlembagaan,
pastinya isu penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan wakil rakyat juga
dapat diselesaikan.
“Terlalu banyak kenyataan dan tindakan pemimpin DAP yang bertentangan dengan paksi identiti dan Perlembagaan negara.
“Malah, isu penggunaan bahasa bukan
Melayu dalam urusan rasmi kerajaan oleh pemimpin DAP adalah perbuatan
mencolok mata rakyat negara ini,” katanya kepada Ismaweb.net.
Beliau berkata, tindak-tanduk parti tamak
haloba berkenaan juga menimbulkan persoalan yang lebih serius
berbanding isu pengusaan bahasa Melayu yang disuarakan Anwar,
termasuklah kesetiaan pemimpin dan ahlinya kepada Raja dan negara.
“Ini termasuklah tindakan Speaker DUN
yang menangguhkan usul pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor
yang sudah mendapat perkenan Sultan.
“Jadi, sebaiknya Anwar menilai semula
keperluan yang sepatutnya didahulukan supaya tidak menjadi seperti ayam
jantan berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi,” katanya.
Terdahulu, Anwar dilaporkan berkata,
mengingatkan pemimpin politik, khususnya wakil rakyat di peringkat
Persekutuan dan Negeri supaya mempertingkatkan mutu penguasaan bahasa
Melayu.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata,
penguasaan bahasa kebangsaan itu boleh dipertingkatkan dalam urusan
rasmi seperti surat menyurat atau ketika persidangan.
“Saya tekankan setelah enam dekad
sepatutnya soal bahasa kebangsaan tidak lagi jadi wacana, yang kita
tekankan ialah mutu penguasaan bahasa.
“Pertamanya, dalam dasar program
kerajaan, kita ingatkan orang politik, penjawat awam memastikan
menggunakan bahasa yang baik,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan