Seorang bekas ahli kumpulan kongsi gelap tidak menyangka
pertemuannya dengan seorang individu bernama ‘Adam’ di sebuah masjid, di
Alor Setar ‘membuka jalan’ untuknya memeluk Islam biarpun sebelum ini
tidak pernah terlintas untuk berbuat demikian.
“Saya berasa sangat tertekan disebabkan masalah rumah tangga, masalah hutang dan masalah gangsterisme saya sehinggakan saya telah masuk ke perkarangan masjid itu sebelum tanpa dijangka bertemu dengan Adam.
“Saya kemudian menceritakan masalah saya kepada Adam dan selepas itu dia pelawa saya ikut solat Asar pada waktu itu dan walau pun saya bukan muslim saya setuju dan dia ajar saya berwuduk dan minta ikut pergerakan solat sahaja,” katanya kepada pemberita di Alor Setar, hari ini.
Abdul Rahman yang sebelum ini juga pernah bekerja sebagai tukang masak di Singapura berkata dia kemudiannya membuat kajian dan memahami mengenai agama Islam sebelum bertindak memeluk agama itu dua minggu kemudian.
“Pada 7 Ogos tahun lepas saya pergi menemui seorang imam di
sebuah masjid di Jalan Pegawai, di sini dan mengucap dua kalimah
syahadah di hadapan ahli jawatankuasa masjid itu, Alhamdulillah saya
bersyukur dipilih terima hidayah tidak ternilai ini,” katanya.
“Walaupun dulu saya dipandang hebat, bengis dan hidup senang , namun saya tinggalkan semua itu dan memilih Islam sebagai pegangan akidah walaupun mulanya susah meneruskan hidup kerana ditinggalkan rakan dan saudara mara selepas bergelar muslim,” katanya.
Abdul Rahman yang berkebolehan memasak kini mencari pendapatan dengan mengambil upah menyediakan hidangan bagi majlis kenduri dan jamuan untuk program-program yang dianjurkan agensi serta jabatan kerajaan.
Beliau juga adalah salah seorang daripada 5,800 saudara baharu yang berdaftar di negeri ini dan masih mengikuti pengajian di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Alor Setar dan beberapa pusat pengajian lain yang dikendalikan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK).- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan