Ahad, 4 Ogos 2019

Tiada kompromi pihak cuai dalam kes lif PPR jatuh, kata menteri

Anggota bomba menyelamatkan mangsa cedera dalam kejadian 
lif jatuh di PPR Kampung Kerinchi pada Jumaat lalu. (Gambar 
Facebook)
 
PUTRAJAYA: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang didapati cuai dalam kejadian lif jatuh di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

“Kita akan siasat dan tidak akan ada ‘cover-up’. Kalau ianya akibat kecuaian ataupun kontraktor tidak membuat kerja, semua itu akan terbuka,” katanya selepas melancarkan kempen kibar Jalur Gemilang peringkat Putrajaya di Dataran Putrajaya hari ini.

Beliau difahamkan Datuk Bandar Kuala Lumpur (Nor Hisham Ahmad Dahlan), kontraktor lif serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) mengadakan perbincangan semalam berhubung tindakan masa depan, khususnya dari sudut pemasangan lif di bangunan baru.

Mengenai laporan media yang semakan dengan DOSH Kuala Lumpur dan Putrajaya mendapati 6,000 lif tidak memiliki sijil perakuan kelayakan, Khalid berkata, beliau tidak pasti ada begitu banyak lif di PPR.

“Yang saya tahu, PPR Kerinchi itu ada sijil dan disahkan DOSH. Itu merupakan maklumat saya. Kalau PPR kita tidak sampai 6,000 lif. Kalau ia (laporan) maksudkan dengan lif-lif dalam bangunan swasta, itu saya tidak tahu.

“Bangunan di bawah jagaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Perbadanan Putrajaya (PPj) sendiri, itu kita tentukan bangunan di bawah jagaan kita. Kalau jagaan pihak lain, dari segi penguatkuasaan kena dijaga pemilik bangunan dan DOSH. Saya tak pasti dari mana mereka dapat fakta itu.”

Semalam, Ketua Pengarah DOSH, Omar Mat Piah dilaporkan berkata hasil pemeriksaan pihaknya mendapati lif di PPR Kampung Kerinchi tidak terhempas, sebaliknya ia berhenti secara mengejut kira-kira 2m dari penampan lif berkenaan.

“Jika ia terhempas, sudah pasti akan sampai ke penampan berkenaan. Pemeriksaan DOSH mendapati tali sawat lif berada dalam keadaan baik, sistem lif berfungsi dengan baik dan brek lif turut berfungsi dan lif yang berusia 12 tahun itu telah diselenggara dengan baik.”

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang Jumaat, 8 individu termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas lif di pangsapuri PPR Kampung Kerinchi mengalami kegagalan sebelum jatuh dari tingkat 5.

Ditanya cadangan DBKL yang mahu kontraktor penyelenggara lif membawa wakil DOSH bersama ketika pemeriksaan bulanan di 45 PPR di bawah seliaannya, Khalid berkata: “Kontraktor yang dibenarkan membuat penyelenggaraan juga disijilkan DOSH…sama ada ia dilaksanakan atau tidak, itu perlu disahkan.

“Tetapi, sekiranya didapati (kontraktor) tidak menjalankan tanggungjawab menyelenggara lif dengan sepatutnya, maka tindakan yang akan diambil bergantung kepada siasatan yang kita lakukan.”

Tiada ulasan: