Ahad, 4 Ogos 2019

Bukan kerajaan pimpinan saya pinjam wang dari Jepun, kata Najib

Najib Razak mempersoalkan Fuziah Salleh kenapa tidak menyentuh 
RM175 juta yang diterima kerajaan daripada Lynas baru-baru ini.
 
PETALING JAYA: Najib Razak menolak alasan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh yang mendakwa Putrajaya tersepit dalam isu Lynas kerana meminjam wang dari Jepun yang mendapat manfaat daripada hasil nadir bumi diproses.

Bekas perdana menteri itu menyifatkan alasan itu mengarut kerana tiada pihak yang memaksa Malaysia meminjam wang dari Jepun dan kerajaan terdahulu pimpinannya tidak pernah mendapatkan pinjaman dari Jepun.

“Dulu masa perdana menteri ke-4 (Dr Mahathir Mohamad), kita banyak pinjam dari Jepun sehingga hutang asing kita melambung apabila nilai yen naik berkali ganda.

“Tapi, kerajaan Barisan Nasional masa saya sudah melunaskan kebanyakan hutang ini,” tulisnya dalam catatan di Fecebook hari ini.

Terdahulu, Fuziah yang juga ahli Parlimen Kuantan melalui surat terbuka mengenai isu Lynas menyalahkan kerajaan terdahulu sebagai punca hutang negara terlalu tinggi sehingga memaksa Putrajaya meminjam wang dari Jepun.

Katanya, Putrajaya tersepit dalam isu Lynas kerana Jepun yang mendapat manfaat daripada hasil nadir bumi diproses, meminjam wang kepada Malaysia dalam bentuk Bon Samurai.

Beliau yang lantang mengkritik Lynas berkata, industri hiliran di Jepun akan lumpuh jika Putrajaya tidak meluluskan lesen operasi syarikat nadir bumi itu.

Najib yang juga bekas menteri kewangan berkata, hutang negara meningkat sebanyak RM120 bilion daripada RM686.8 bilion di bawah pentadbiran BN pada akhir 2017 kepada RM807 bilion sekarang disebabkan pinjaman domestik dalam ringgit.

Beliau mendakwa kerajaan Pakatan Harapan meminjam kira-kira RM10 bilion setiap bulan.

“Kalau boleh pinjam RM120 bilion dari sumber domestik dan jarah RM82 bilion dari Petronas, kenapa pula PH perlu pinjam RM7.3 bilion dari Jepun?”

Beliau turut mempersoalkan Fuziah tidak menyentuh RM175 juta yang diterima kerajaan daripada Lynas baru-baru ini.

“Oleh itu, lesen Lynas dilanjutkan dan Lynas mungkin dibenarkan untuk buang sisa-sisa mereka ke dalam bekas kolam lombong. Kenapa tak sebut duit Lynas sudah masuk?” soalnya.

Semalam, Lynas dilaporkan berkata, ia sudah mendepositkan wang tunai dan bon bersandarkan tunai sebanyak AS$42.2 juta (RM175 juta) kepada kerajaan Malaysia bagi membiayai pengurusan sisa jangka panjang di kilangnya di Gebeng, Pahang.

Tiada ulasan: