Khamis, 8 Ogos 2019

Silakan siasatan, tiada masalah

BERNAMA
 


KERAJAAN negeri Johor bersikap terbuka dan mengalu-alukan sekiranya Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhasrat membuka kertas siasatan berhubung proses kelulusan kilang yang beroperasi di Pasir Gudang.

Menteri Besarnya Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, pihaknya tiada masalah untuk memberi kerjasama dalam siasatan itu.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri mengalu-alukan SPRM untuk mengadakan siasatan. Tidak ada masalah,” katanya kepada media selepas melancarkan Program Food Bank Yayasan Harapan Pontian 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ali Haji Ahmad, Pontian, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Johor Datuk Mohamed Khaled Nordin hari ini, yang mencadangkan SPRM atau mana-mana agensi terbabit membuka kertas siasatan berhubung perkara itu, selain bersedia untuk disiasat berkaitan isu berkenaan.

Sebelum ini, laman Facebook Kelab Muafakat Johor menuding jari kepada Mohamed Khaled susulan pencemaran yang berlaku di Pasir Gudang.

Sementara itu, ditanya mengenai desakan pihak pembangkang untuk mendedahkan nama-nama kilang yang terbabit dengan pencemaran itu, Sahruddin berkata, pihaknya hanya boleh mendedahkannya selepas dapat mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Tiada ulasan: