CUBAAN lelaki menyamar Setiausaha Sulit kepada Yang di-Pertuan Agong dan Penasihat Istana Negara bergelar Datuk Seri untuk menipu melepaskan aset Astana Sarawak bernilai RM1. 8 juta gagal apabila ditahan polis hari ini.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad berkata, suspek berusia 26 tahun itu pada mulanya memperdaya isteri ahli perniagaan berusia 30-an kononnya aset itu terkandas di kastam dan perlukan wang proses menyelesaikan masalah pembekuan aset itu dalam masa dua minggu.
Menurutnya, mangsa kemudian membuat bayaran tunai RM50,000 yang diserahkan kepada lelaki berusia 31 tahun iaitu rakan suspek sementara RM50,000 pula dipindah melalui akaun bank 1 dan 2 Ogos lalu.
“Mengesyaki ditipu suami mangsa kemudian membuat laporan polis kelmarin.
“Bertindak atas laporan polis itu Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Putrajaya mengesan suspek dan suspek utama yang juga pemilik restoran di Temerloh, Pahang pada 3.40 pagi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata, suspek kedua yang juga polis bantuan berpangkat Asisten Superintendan ditahan di Kajang, Selangor.
“Siasatan juga mendapati gelaran Datuk Seri adalah tipu.
“Kita sedang memohon reman suspek hari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan