Ini terbukti apabila Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik tunduk akur kehendak Dong Zong berkaitan isu khat dan tulisan Jawi di sekolah sehingga membuat keputusan menyerahkannya kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Pengerusi Biro Pendidikan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Dr. Mohd Aluwi Sari berkata, pihaknya sedih, dukacita dan marah dengan keputusan itu, yang memperlihatkan kedayusan menteri.
“Dong Zong desak sikit saja, Menteri Pendidikan terus tersungkur menyembah bumi, tidak upaya melaksanakan dasar nasional berpaksikan kepada asas Perlembagaan Negara dan dasar kepentingan nasional.
“Daripada serahkan kepada PIBG, lebih baik kementerian batalkan saja cadangan khat Jawi di sekolah,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Penyelaras penaja Putra Melaka berkata, keputusan dibuat oleh Kabinet pada Rabu lalu adalah hasil daripada tekanan beberapa menteri sehingga Dr. Mahathir tunduk serta hilang taring dan kewibawaannya.
Katanya, jika perdana menteri dan Dr. Maszlee gagal menyelesaikan masalah mengharamkan Dong Zong, membatal dan memansuhkan pengiktirafan sijil UEC, tulisan Jawi dan menukar sistem Pendidikan Negara ke sekolah satu aliran, kedua mereka wajar meletakkan jawatan.
Ini kerana, katanya, mereka gagal memartabatkan Dasar Pendidikan Negara dan apa yang dilaungkan saban hari hanyalah retorik semata-mata.
Ujar beliau, selama ini apa sahaja intipati dan makluman yang diviralkan dalam media sosial oleh Dr. Mahathir dan Dr. Maszlee adalah untuk meraih kepercayaan rakyat.
“Dr. Mahathir hanya mahu memperlihatkan kepada rakyat bahawa beliau adalah pemimpin jujur, seorang yang tegas dengan pendirian walaupun ‘ditentang’ oleh DAP dan Lim Kit Siang,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan