Rabu, 7 Ogos 2019

Bekas pembantu timbalan menteri akan didakwa kerana video intai



Tangkap layar daripada rakaman CCTV menunjukkan Azis Jamman 
dan pembantunya di sebuah kedai cermin mata di Kuala Lumpur 
tahun lalu.
 
SEPANG: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Azis Jamman hari ini mengesahkan seorang bekas pembantunya akan didakwa atas pertuduhan merakam video bawah skirt seorang wanita menggunakan telefon bimbitnya.

Katanya, beliau dimaklumkan kertas siasatan kes itu sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Saya diberitahu dia akan didakwa, jadi kita akan tunggu. Ia terpulang kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini selepas menghantar sekumpulan jemaah untuk menunaikan haji di Makkah.

Lelaki berusia 48 tahun itu ditahan di Solaris Dutamas, Sri Hartamas di Kuala Lumpur tahun lalu.

Dia yang disiasat kerana mengaibkan kehormatan orang lain dan berkelakuan aib, kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.

Menurut laporan, mangsa yang merupakan pakar optik sedang menjalankan pemeriksaan mata ke atas Azis di kedai cermin mata di sebuah pusat beli-belah, sebelum menyedari seorang lelaki yang duduk di belakangnya meletakkan telefon bimbit di bawah skirtnya.

Rakaman CCTV di kedai itu menunjukkan lelaki terbabit meletakkan telefonnya berdekatan skirt wanita berkenaan ketika beliau memeriksa penglihatan Azis.

Azis yang juga ahli Parlimen Sepanggar memecat pembantu terbabit selepas rakaman CCTV kejadian itu tersebar di media sosial.

Katanya, tindakan lelaki itu menjejaskan imej dan kredibilitinya selaku timbalan menteri dalam negeri.



Tiada ulasan: