Banyak lagi cara eratkan hubungan etnik demi capai perpaduan
BANGI– “Sudah-sudahlah. Takkan nak tunggu sembelih korban dekat kuil atau sembelih babi dalam masjid baru kata salah.”
Demikian kata Pendakwah bebas, Prof Dr
Ridhuan Tee Abdullah terhadap Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang
seolah-olah membela tindakan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah
Mohd Nasir berhubung majlis berbuka puasa di Gurdwara Sahib, Jalan Trus,
di Johor Bahru, Selasa lepas.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana
Menteri itu dilaporkan berkata, majlis berbuka puasa anjuran Akmal
bertujuan merapatkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum dan tidak
sepatutnya menjadi isu.
“Ini bukan isu yang perlu diperbesarkan,
hanya sesetengah pihak sahaja yang mensensasikan isu agama, pemikiran
sempit dan perkauman. Ini dibimbangi akan mewujudkan Islamofobia,” kata
Mujahid.
Membidas perkara itu, Ridhuan Tee
berkata, banyak lagi cara lain untuk mengeratkan hubungan etnik demi
mencapai perpaduan, bukan terhegeh-hegeh seperti dilakukan oleh wakil
rakyat Johor Bahru itu.
“Apabila saya memberikan respons mengenai
majlis berbuka puasa di Gurdwara, bukan bermakna saya melarang. Tetapi
tidak manis. Banyak tempat ada, kenapa pergi ke situ? Hingga ke
peringkat menjemput mereka datang berbuka puasa dengan kita pun saya
masih berpandangan tidak kena.
“Prinsipnya jelas, kita berpuasa, mereka
tidak. Kita akan pergi solat selepas berbuka, mereka tidak. Lagi pula
apakah kita tidak merasa bersalah meninggalkan mereka keseorangan ketika
kita solat dan tarawih?
“Teringat hantaran mesej kawan-kawan
apabila isu ini menjadi kontroversi. Zaman BN – petang nanti hang
berbuka di masjid mana? Zaman PH – petang nanti hang berbuka di kuil
mana? Nampak kelakar tetapi makna mendalam,” kata beliau ketika
dihubungi Ismaweb.
Dalam perkembangan sama, Ridhuan Tee yang
juga Pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersetuju
dengan titah Sultan Johor bahawa tidak boleh sama sekali sekiranya untuk
menjaga hubungan antara etnik, kedudukan dan kepentingan agama Islam
sebagai agama negeri ‘dikesampingkan’.
“Secara peribadi, sebagai pensyarah, saya
selalu menggalakkan pelajar saya melakukan gotong-royong membersihkan
rumah ibadat dan tanah kubur bukan Islam. Tetapi ingat sebelum melakukan
perkara itu pastikan masjid, surau dan tanah kubur kita bersih dulu.
Ini tidak, sibuk jaga rumah orang, rumah sendiri berantakan,” katanya.
Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim
Iskandar, dukacita berhubung majlis berbuka puasa anjuran Ahli Parlimen
Johor Bahru di Gurdwara Sahib, di negeri itu, Selasa lalu.
Baginda bertitah ahli Parlimen terbabit,
tidak pernah merujuk pihak berkuasa Majlis Agama Islam Johor (MAINJ)
mengenai perkara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan