Sabtu, 15 Jun 2019

Pertembungan 4 penjuru bagi jawatan naib presiden PAS

DENYUT REFORMASI

 
 
Pertembungan empat penjuru dijangka berlaku bagi merebut jawatan naib presiden PAS apabila Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut dicalonkan bagi menduduki kerusi berkenaan.

Selain Ahmad Samsuri, tiga penyandang jawatan Naib Presiden, Idris Ahmad, Iskandar Samad dan Mohd Amar Nik Abdullah turut dicalonkan bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi mereka itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Dr Mohd Fuad Mohd Salleh, berkata 37 calon layak bertanding untuk mengisi 18 jawatan ahli jawatankuasa pusat.

"Dan dari jumlah tersebut seramai 29 orang calon telah menyatakan kesediaan untuk bertanding.
"Empat orang telah dicalonkan untuk jawatan naib presiden iaitu tiga penyandang sedia ada dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Tiada nama lain dicadangkan untuk mengisi jawatan jawatan presiden dan timbalan presiden kecuali nama-nama penyandang. Oleh itu jawatan presiden dan timbalan presiden telah dimenangi tanpa bertanding," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 9 Jun lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man diumum berjaya mengekalkan jawatan masing-masing selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan muktamar PAS ke-65.

Abdul Hadi menerajui parti itu sejak tahun 2002 bagi menggantikan allahyarham Dr Fadzil Noor manakala Tuan Ibrahim menjawat jawatan nombor dua parti sejak 2015.

Muktamar PAS kali ke-65 yang akan berlangsung di Kuantan, Pahang bermula dari 21 Jun hingga 23 Jun nanti.

Bagi jawatan dalam Dewan Ulama PAS (DUPP) pula, semuanya telah dimenangi tanpa bertanding, begitu juga jawatan tertinggi dalam Muslimat PAS dan Pemuda PAS juga turut dimenangi tanpa bertanding.

Khalil dicalonkan ke jawatankuasa pusat

Anak Abdul Hadi, iaitu Muhammad Khalil yang sebelum ini memegang jawatan ketua pemuda PAS dicalonkan bagi merebut jawatan ahli jawatankuasa pusat.

Turut sama dicalonkan bagi jawatan itu, Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan.
Sementara itu, Mohd Fuad berkata, calon-calon masih mempunyai peluang untuk menarik diri jika tidak berhasrat untuk bertanding.

"Sesuai dengan konsep syura yang diamalkan oleh parti PAS sejak sekian lama, calon-calon masih mempunyai peluang untuk menarik diri bagi mengelak pertandingan.

"Kepada mereka yang berhasrat untuk menarik diri mereka diberi masa sehingga hari Rabu 12 Jun 2019 untuk berbuat demikian dengan menyatakan hasrat secara bertulis kepada jawatankuasa pemilihan PAS pusat," katanya lagi. 
 
 

Tiada ulasan: