Isnin, 3 Jun 2019

Perpaduan kaum, keharmonian agama agenda licik liberalisasi

ISMA WEB

Musuh berusaha sekat, perlahankan gerakan umat Islam


BANGI – Meneutralkan amalan dan ibadah dalam Islam agar ia boleh dikongsi dengan penganut agama lain atas nama perpaduan kaum dan keharmonian agama, adalah antara gerakan licik liberalisasi untuk menyekat atau memperlahankan gerakan Islam dan umatnya.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, gaya tindakan gerakan liberalisasi itu juga antara lain termasuk mencampuradukkan ibadah khusus dalam Islam, dengan amalan adat dan budaya, sehingga nilai ibadah khusus itu tidak dipraktikkan mengikut tatacara yang betul.

Perancangan musuh Islam katanya, sangat rapi dan strategik, menerusi tindakan licik untuk menyekat atau sekurang-kurangnya memperlahankan gerakan Islam dan umatnya.

Beliau berkata, gerakan itu tidak sahaja dengan melakukan serangan terbuka dari luar, tetapi juga secara halus dan menusuk dari dalam setelah mereka berjaya masuk ke jantung hati umat Islam.

“Satu daripada gerak licik mereka ialah gerakan liberalisasi yang tentu sahaja bergerak selari dan sepadu dengan gerakan misionaris dan orientalis.

“Gaya tindak gerakan liberalisasi ialah menyamatarafkan agama Islam dengan agama-agama lain melalui slogan semua agama mengajak ke arah kebaikan dan semua agama menuju syurga.

“(Mereka juga) meneutralkan amalan agama dan ibadah dalam Islam agar ia boleh dikongsi amal dan tindakan dengan penganut agama lain atas nama perpaduan kaum dan keharmonian agama,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa ketika mempertahankan tindakan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Nasir berbuka puasa di kuil, berkata majlis itu bertujuan merapatkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum dan tidak sepatutnya menjadi isu.

“Ini bukan isu yang perlu diperbesarkan, hanya sesetengah pihak sahaja yang mensensasikan isu agama, pemikiran sempit dan perkauman. Ini dibimbangi akan mewujudkan Islamofobia,” kata Mujahid.

Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, permuafakatan, keharmonian dan perpaduan antara kaum dalam bangsa Johor telah disemarakkan sejak zaman-berzaman, dan tidak perlu pendekatan baru yang tidak syarie sebagaimana yang dibuat ahli Parlimen itu.

Nasruddin berkata, sasaran mudah gerakan liberalisasi ialah umat Islam yang tidak mendalam pegangan agama dan mudah diperdaya melalui slogan kesaksamaan dan keharmonian kaum.

Sasaran lain katanya, ialah umat Islam yang tidak kejap pegangan agama dan mudah dipalingkan dengan tekanan dan ugutan; serta umat Islam yang terdesak dan mudah dipengaruhi melalui sumbangan kebajikan dan pembiayaan yang dihulurkan.

“Objektif gerakan liberalisasi (pula) ialah meleraikan pegangan agama dan merosakkan keyakinan umat Islam terhadap Islam sebagai ad-din. Sehingga menganggap Islam hanyalah agama biasa-biasa sahaja.

“Melunturkan semangat juang umat Islam untuk mendaulatkan Syariat. Sehingga menganggap bahawa syariat Islam tidak perlu didaulatkan kerana masyarakat majmuk dan menghormati kepelbagaian agama.

“Akhirnya, mereka mahu supaya umat Islam tidak rasa bersalah kalau pun mahu menukar agama justeru ia menepati hak asasi beragama dan memilih cara hidup,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa Islam tidak antibukan muslim, tetapi agama itu menetapkan garis sempadan.


Tiada ulasan: