Sabtu, 1 Jun 2019

Mari bincang isu matrikulasi secara terus terang, kata ahli akademik

Denison Jayasooria.
 
PETALING JAYA: Seorang pakar sosiologi menggesa diadakan perbincangan terus terang mengena isu pengekalan kuota kaum untuk progra matrikulasi universiti dan perkara lain yang boleh memberi kesan ke atas peruntukan penting Perlembagaan Persekutuan.

“Kita harus bersetuju bahawa semua pandangan boleh dibawa ke meja perbincangan,” kata Denison Jayasooria, felo penyelidik utama di Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Katanya, dalam perbincangan yang terbuka dan berterus terang, pihak yang menunjukkan ketidakwarasan akan kecundang.

“Kita juga boleh membincangkan Perkara 153 mengenai kedudukan istimewa dan kepentingan sah Bumiputera secara terbuka tanpa cuba untuk menghapuskannya.”
Merujuk kepada isu matrikulasi, beliau menggesa satu kajian semula diadakan berhubung justifikasi kuota Bumiputera berpandukan realiti semasa.

Denison mencadangkan diwujudkan sistem kemasukan tunggal ke universiti awam dalam bentuk kursus serta peperiksaan bersepadu.

Katanya, beliau tidak percaya pelajar Melayu dari sekolah kebangsaan dan sekolah khas tidak mampu bersaing dalam peperiksaan begitu.

“Keadaan pada 1950-1960-an tidak sama,” katanya. “Institusi dan peruntukan pendidikan kita ekarang sangat menyeluruh.

“Dalam konteks ini juga kerajaan harus mengkaji semula amalan menghantar pelajar ke luar negara untuk ijazah pertama mereka. Mereka perlu ditempatkan di universiti awam tempatan dan universiti swasta yang baik.”

Menempatkan pelajar terbaik di universiti tempatan akan meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara, kata beliau.

Keputusan Putrajaya untuk mengekalkan kuota 90% pelajar Bumiputera dalam program matrikulasi mengundang debat awam mengenainya.

Sesetengah pemerhati berkata, sebahagian debat tersebut cenderung ke arah perkauman.

FMT baru-baru memetik peniaga buku antik Muhammad Nazreen Jaafar dan ahli akademik Teo Kok Seong sebagai berkata bahawa pengucapan serta penulisan politik semasa kelihatan bersifat perkauman dan berkisar isu kedudukan bahasa Melayu dan pendidikan.

Nazreen, bekas penyelidik di sebuah badan pemikir tempatan berkata, beliau memperolehi satu dokumen yang dikeluarkan secara dalaman oleh Perikatan, gabungan parti politik pemerintah sebelum kewujudan Barisan Nasional, yang memperihalkan iklim politik sebelum tercetusnya rusuhan 13 Mei 1969.

Katanya, debat politik yang berlaku hari ini menampakkan kecenderungan yang sama.Teo, rakan akademik Denison di Institut Kajian Etnik berkata, sesetengah parti politik seolah-olah mencabar perlembagaan negara dan hak orang Melayu, dengan menyebut debat mengenai kuota matrikulasi sebagai contoh.

Tiada ulasan: