Sabtu, 1 Jun 2019

Anwar wajar renung nasib sendiri

Manzaidi Mohd Amin
MGF19022017_HimpunanSolidaritiUmmah2017tantawi-1-681x455
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar merenung nasib diri dahulu, bagaimana masa depannya dan parti yang dipimpin pada hari mendatang, sebelum membuat ramalan parti lain.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, sejak kebelakangan ini Anwar ghairah menyerang kerjasama parti itu dan UMNO, yang diramalnya bakal berdepan kemerosotan sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Nampaknya tidak habis lagi serangan pemimpin PH terhadap kerjasama Pas dan UMNO apabila Anwar tampil membuat ramalan bahawa muafakat Pas dan UMNO akan membuatkan sokongan kepada kedua-dua parti itu merosot menjelang PRU 15 kelak.

“Selayaknya Anwar terlebih merenung nasib diri, bagaimana masa depannya dan parti yang dipimpinnya pada hari muka yang kini telah mula dinilai negatif oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Nasrudin berkata, Pas terus “PH ” meskipun difitnah dan ditohmah oleh pihak lawannya, termasuk momokan isu perpaduan Pas dan UMNO telah didendang sejak 2015 lagi.

Namun, katanya penerimaan masyarakat terhadap Pas semakin bertambah dan sangat memberangsangkan.

“Bahkan jumlah kemasukan ahli baharu yang diluluskan oleh Pas juga sangat menggalakkan,” katanya.

Beliau menyatakan, rekod keahlian baharu Pas sejak tahun 2015 di saat berdepan dengan politik fitnah yang dahsyat ialah tahun 2015 seramai 41,431 ahli baharu, diikuti 2016 (23,559 ahli), 2017 (41,813 ahli), dan 2018 (15,900 ahli).

Malah, separuh tahun pertama 2019 bermula Januari hingga Mei lalu, saat rakyat menyaksikan kerjasama Pas dan UMNO semakin erat, parti itu telah merekodkan penerimaan ahli baharu seramai 29,691 orang.

Ini berdasarkan jumlah pendaftaran bulanan keahlian baharu yang direkodkan Jawatankuasa Pas Pusat, iaitu Januari seramai 3,455 ahli, Februari (6,225 ahli), Mac (7,090 ahli), April (8,235 ahli) dan Mei (4,686 ahli).

Beliau percaya sokongan rakyat semakin meningkat, tambahan pula muafakat bestari antara Pas dan UMNO serta parti kompenan yang lain semakin utuh dan membuahkan hasil.

Kata beliau, bahasa politik yang mudah difahami oleh semua ialah apabila pemimpin PH mula resah dan gelabah, maka itu menandakan muafakat Pas dan UMNO sangat efektif untuk merubah landskap politik tanah air, di mana sekali gus bakal menumbangkan PH dan kerajaannya pada PRU akan datang. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: