PETALING JAYA: Seorang penganalisis ekonomi menggesa kerajaan dan pengguna berusaha lebih giat bagi menangani masalah kenaikan harga barang keperluan, ketika aduan barang makanan seperti telur, meningkat sejak pilihan raya umum lalu.
Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak (Utar) Prof Barjoyai Bardai berkata kenaikan harga berkait rapat dengan bekalan dan permintaan.
Tinjauan FMT di sebuah pasar raya terkemuka menunjukkan harga beberapa barang seperti telur gred C naik 36.6%.
Antara PRU14 pada 9 Mei hingga 18 Februari lalu, harga 30 biji telur dalam satu bekas naik 36.6% iaitu dari RM9 kepada RM12.30.
Harga ikan kembung India dan sotong putih naik 2%, sementara harga beberapa barangan lain seperti bayam, tidak berubah.
Barjoyai berkata, harga barang keperluan seperti telur dan ayam, dikawal beberapa pengeluar.
“Bagi barang seperti kacang panjang, yang hasil pengeluarannya kurang daripada bayam, harganya bergantung kepada bekalan dan permintaan,” katanya.
Tambahnya, perubahan harga membuatkan pengguna berbelanja sekurang-kurangnya RM300 sebulan untuk bahan makanan.
Beliau mencadangkan kerajaan campur tangan dengan mengeluarkan lebih banyak permit import untuk barang makanan apabila harga barang tertentu naik.
Langkah begini, katanya, meningkatkan bekalan dan membantu menurunkan harga barang makan.
Beliau memberi contoh ubi kayu di Thailand, yang menurutnya, 5 kali lebih murah berbanding di Malaysia.
“Malah di pasar tani, ubi kayu dijual kira-kira RM1 sekilo, sementara di Thailand ia boleh dibeli dengan harga serendah 20 sen,” katanya.
Beliau menyedari kerajaan mungkin mahu melindungi pengeluar tempatan dengan mengehadkan import, tetapi langkah yang dicadangkan itu adalah untuk jangka pendek bagi membantu pemain industri di peringkat awal.
“Kita tidak boleh terus melindungi mereka. Mereka kena belajar bersaing dengan pasaran dunia,” katanya.
Beliau juga mencadangkan kerajaan menyiarkan harga barang keperluan melalui media untuk membolehkan pengguna bandingkan harga barang di antara pasar raya.
Katanya, ia bukan sahaja membantu pengguna memilih membeli barang dengan harga lebih baik, bahkan untuk jangka panjang, pengeluar juga akan lebih cenderung meletakkan harga lebih berpatutan.
Mengenai apa yang pengguna boleh lakukan untuk mengawal harga, beliau berkata mereka perlu bekerjasama untuk memberi tekanan dari segi harga.
“Apa barang pun, termasuk telur, ada barang gantian baginya. Sekiranya harga telur naik 30%, pengguna patut boikot telur dan beli barang gantian.
“Apabila harga turun disebabkan kurang permintaan, mereka boleh beli semula barang itu,” katanya.
Baru-baru ini, dilaporkan ringgit yang lemah dan kejadian selesema burung menyumbang kepada kekurangan bekalan yang mengakibatkan kenaikan harga barang keperluan.
Juga terdapat desakan supaya kerajaan hentikan eksport telur dan ayam untuk mengatasi masalah kenaikan harga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan