Sabtu, 9 Mac 2019

'MIC lemah kerana pucuk pimpinan BN terdahulu'


   

Presiden MIC, SA Vigneswaran mendakwa parti yang mewakili kaum India menjadi lemah kerana sikap pucuk pimpinan BN terdahulu.

Beliau berkata peranan MIC dikurangkan apabila BN membuka pintu kepada parti-parti berteraskan kaum India yang digelarkan sebagai 'parti sahabat BN'.

Akibatnya, kata Vigneswaran, MIC gagal menawan pengundi dari kaum India sejak pilihan raya umum 2008.

"Tindakan pucuk pimpinan BN terdahulu yang memberi kepentingan kepada-kepada parti-parti 'sahabat BN' menjejaskan reputasi MIC sehingga mereka tidak menghiraukan dan enggan mendengar kepada kami," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC di Ibu Pejabat parti itu di Kuala Lumpur semalam.

Bagaimanapun Vigneswaran tidak menjelaskan siapakah pucuk pimpinan terdahulu yang dimaksudkan.
"Di zaman Tun Mahathir (Dr Mahathir Mohamad sebagai Presiden BN) MIC sentiasa dihormati sebagai komponen BN.

"Selepas itu, pada PRU 12, impak Hindraf menjejaskan sedikit pengundi India kepada MIC.

"Ini membuka kepada pimpinan BN membawa masuk empat parti India masing-masing Kimma, Makkal Sakthi, MIUP (Malaysian Indian United Party) dan IJP (Parti Keadilan India) sebagai parti sahabat BN.

"MIC menjadi lemah dalam usaha mengekalkan sokongan pengundi India sehingga pada 2018, peratus sokongan pengundi India kepada BN jatuh kepada 20 hingga 25 peratus sahaja," katanya.

Tambah speaker Dewan Negara itu, sebaliknya pucuk pimpinan BN mengkritik MIC di atas kegagalan tersebut.

Sementara itu Vigneswaran berkata BN bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mendengar serta menyelesaikan perbalahan dalaman melibatkan parti-parti komponennya.

"Selepas ini 'nothing doing'. MIC akan menjadi komponen tunggal mewakili kaum India dalam BN buat masa ini. Tetapi, kami akan (terbuka untuk) bekerjasama dengan parti-parti lain," katanya.


Tiada ulasan: