Kerajaan kini melihat ke arah Timur Tengah dan Afrika Utara bagi mencari pasaran baru untuk minyak sawit Malaysia.
Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata, timbalannya Shamsul Iskandar Md Akin dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah mula meneroka pasaran baru sejak awal tahun ini.
Katanya, Shamsul antaranya telah berkunjung ke Pakistan dan Ethiopia sementara beliau sendiri akan melawat beberapa negara di Afrika Utara, selain menghadiri seminar perdagangan di Arab Saudi tidak lama lagi.
"Ini semua adalah pasaran baru, tetapi kita juga lihat pesaing telah masuk ke pasaran ini.
"Jika kita lambat dan tidak pergi untuk promosikan sawit kita, mungkin kita akan hilang pasaran-pasaran yang berpotensi ini," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.
Malaysia dan Indonesia menguasai 85 peratus daripada pengeluaran minyak sawit seluruh dunia, dan kedua-dua negara telah menerima kesan daripada larangan import yang dikenakan Kesatuan Eropah (EU).
Eropah mendakwa industri sawit Malaysia dan Indonesia terlibat dalam amalan yang tidak lestari.
Teresa berulang kali menafikan tuduhan itu.
Katanya lagi, Malaysia akan mewajibkan pemain dalam industri sawit untuk menanam semula sejuta pokok dalam masa satu dekad ini untuk menangani dakwaan penebangan hutan.
"Kita ada baca bahawa timbalan perdana menteri kita bertemu beberapa anggota parlimen Perancis yang tidak tahu bahawa 50 peratus daripada Malaysia adalah hutan.
"Ramai yang jahil tentang Malaysia dan perkara baik yang berlaku di sini. Jadi apabila saya terbabit dalam pemuliharan hidupan liar dan pemulihan hutan, saya akan menguar-uarkannya," katanya lagi.
Katanya, kempen penanaman pokok akan bermula hujung minggu ini di Sabah. Negeri itu sekian lama dituduh oleh pelobi antisawit sebagai menghilangkan habitat orang utan dengan membenarkan peluasan ladang kelapa sawit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan