TAMBUN: Kerjasama PAS
dan Umno yang semakin meluas dijalin kini telah membangkitkan kekuatan
baharu ummah hingga digeruni parti politik lawan kerana tidak senang
melihatnya.
Ketua PAS Cawangan Sungai Tapah, Yeop
Mat Idin berkata, lantaran itu sehingga mereka tidak henti menabur
fitnah dan pelbagai persepsi yang bertujuan menggagalkan kesatuan
tersebut.
"Kesatuan PAS dan Umno ini mesti dijaga.
Ia kesatuan demi Islam dan masa depan agama serta bangsa, tanpa
meminggirkan agama dan bangsa lain," jelasnya.
Beliau mengulas demikian mewakili
ahli-ahli PAS Cawangan itu yang hadir ke perasmian Mesyuarat Agung Umno
Cawangan Seberang Sungai Tapah oleh Timbalan Ketua Umno Bahagian Tambun,
Dato' Azizul Kama Abd Aziz, di sini hari ini.
Kehadiran tersebut menurutnya, bukan
sahaja sebagai merai dan memeriahkan majlis ukhuwah itu, tetapi juga
bukti sikap lapang dada akar umbi PAS untuk menyahut seruan menjalin
kerjasama itu.
Ketua Pemuda PAS Cawangan Sungai Tapah,
Safwan Jaafar pula menyifatkan kehadirannya bersama kepimpinan Pemuda
PAS Cawangan itu memberi peluang beramah mesra bersama Pemuda Umno.
Katanya, selain telah mengenali satu
sama lain sebagai rakan sekampung, sudah tiba masanya dua entiti itu
bersama menyedarkan penduduk terutama anak muda terhadap kewajipan
mengundi.
"Mutakhir ini kita lihat terlalu banyak
kepincangan dalam Kerajaan PH yang menjurus kepada ketidakstabilan
ekonomi, selain ancaman keruntuhan akhlak dari pengaruh songsang seperti
LGBTQ, pemikiran Liberal dan sebagainya," ulas beliau.
Sementara itu, Ketua Umno Cawangan
Seberang Sungai Tapah, Ariza Fatah berbesar hati dengan kehadiran
ahli-ahli PAS ke majlis itu dan berhasrat untuk segera mengatur program
bersama.
Dato' Azizul pula dalam ucapannya
menyifatkan perkembangan tersebut sebagai sejarah dan menjadi bukti
antara anggota akar umbi tidak punya sebarang masalah untuk PAS dan Umno
bekerjasama.
Hadir sama menyaksikan majlis penuh
sejarah itu adalah Ahli Jawatankuasa Gerakan Pembela Ummah (UMMAH),
Abdul Halim Abu Hassan. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan