Isnin, 11 Mac 2019

Agong rasmi istiadat pembukaan sidang Dewan Rakyat

Muhammad Azizul Osman
WhatsApp-Image-2019-03-11-at-10
Yang di-Pertuan Agong memeriksa pasukan kawalan kehormat utama di Parlimen.


KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi penggal kedua Parlimen Ke-14 di Dataran Parlimen.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah pada pukul 10.08 pagi tadi disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof dan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri SA Vigneswaran.

Hadir menyambut keberangkatan baginda ialah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Hasmah Mohamad Ali, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.

Al-Sultan Abdullah menerima sembah ‘Hormat Diraja’ daripada Mejar Ahmad Safuan Jaafar yang mengetuai barisan kawalan keselamatan utama Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Selepas itu, lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat RAMD oleh 44 anggota lain-lain pangkat dan seorang pegawai yang diketuai Mejar Muhamad Nor Azizan Yahya diikuti tembakan meriam 21 das oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja.

Baginda kemudiannya memeriksa pasukan kawalan kehormat utama yang terdiri daripada 57 anggota dan tiga pegawai dari Batalion Pertama RAMD diketuai Mejar Mohd. Asri Che Wil.

Selesai istiadat, Al-Sultan Abdullah kemudian diiringi ke Bilik Diraja untuk bergambar sebelum ke Dewan Rakyat bagi menyampaikan titah ucapan perasmian.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari hingga 11 April depan, manakala Dewan Negara dari 22 April hingga 9 Mei depan selama 13 hari. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: