Ahad, 10 Mac 2019

1 maut, 3 cedera dipanah petir


   
Seorang lelaki warga Myanmar maut, manakala tiga rakan senegara cedera akibat dipanah petir dalam satu kejadian di padang bola sepak Setia Badminton Academy di Setia Alam, di Shah Alam, petang ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh yang mengesahkan kejadian pada pukul 5.05 petang itu berkata identiti warga Myanmar yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Rohimullah dan berumur 19 tahun.

“Seorang lagi yang cedera dikenali sebagai Abdul Rahman Abul Hussin, 30, kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, dalam keadaan koma," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata dua lagi yang cedera dikenali sebagai Kamaluddin Abu Tahir ,30, dan Hussein Ahmad Asod Ali, 20, yang kecederaan mereka masih belum dikenal pasti.

Sementara itu, penganjur yang juga pengadil perlawanan bola sepak ketika kejadian, Zainizam Zambri berkata warga Myanmar yang maut itu dipercayai sedang menggunakan telefon bimbitnya semasa kilat menyambar.

Beliau berkata pemuda itu merupakan penyokong pasukan bola sepak Rohingya Klang FC (RKFC) yang sepatutnya bermain dalam perlawanan menentang Super Nova FC.

Namun katanya, disebabkan keadaan cuaca yang tidak baik dan guruh mulai kedengaran, pihaknya memutuskan untuk menghentikan perlawanan mengikut prosedur yang ditetapkan kira-kira setengah jam sebelum kejadian kilat itu berlaku.

"Kita juga sudah arahkan penyokong untuk keluar dari padang dan mencari tempat berteduh sebab petir dilihat mula menyambar. Masa kejadian itu juga, kuat sangat bunyinya, dan cahaya (kilat) amat terang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

"Mangsa yang masih berada dalam kawasan padang bersama beberapa rakannya tiba-tiba dilihat di sambar kilat dan saya nampak empat rakannya terpelanting," tambahnya.

Zainizam berkata melihat kejadian itu, beliau dan beberapa orang awam segera ke arah mereka untuk membantunya namun pemuda itu didapati sudah meninggal dunia.

Katanya beliau melihat warga Myanmar itu mengalami lecur pada bahagian kaki manakala baju dan seluarnya terbakar. -Bernama


Tiada ulasan: