Sabtu, 17 November 2018

Jumpa saya jika tak faham ratifikasi ICERD, kata Mujahid




KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa menggesa pihak yang tidak faham tentang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) agar bertemunya untuk mendapatkan penjelasan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata tindakan menularkan isu tentang ratifikasi perjanjian antrabangsa itu tanpa memahaminya hanya menimbulkan kebimbangan dalam masyarakat.

Mujahid mengajak Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan untuk mengambil peluang ini untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

“Apa yang ditularkan secara tidak bertanggungjawab itu fitnah yang boleh timbulkan masalah perkauman. Amat berbahaya jika salah faham ini ditularkan secara berterusan kerana ia melibatkan perpaduan kaum dan agama,” katanya pada sidang media di ruang legar Parlimen hari ini.

Beliau mengulas sebaran di media sosial mendakwa keistimewaan Bumiputera, kedudukan Bahasa Melayu dan Islam akan tercabar jika ICERD dimeterai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy pada 23 Oktober berkata ratifikasi ICERD boleh dilakukan dengan pengecualian terhadap peruntukan-peruntukan tertentu dalam perjanjian antarabangsa itu.

Ditanya sama ada Perkara 2.2 ICERD melanggar Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Waytha berkata “diskriminasi positif” atau tindakan afirmatif tidak boleh dianggap diskriminasi menyeluruh.

Perkara 153 yang memberi keistimewaan kepada Bumiputera dikatakan bercanggah dengan Perkara 2.2 ICERD, yang menyatakan sebarang langkah untuk membangunkan atau melindungi kumpulan kaum tertentu harus dihentikan selepas tempoh masa tertentu.

Mengikut ICERD, pemeterai wajib menggunakan dasar-dasar tindakan afirmatif “sekiranya wajar” dan dalam satu tempoh masa tertentu bagi menjamin hak asasi dan kebebasan kumpulan kaum tertentu yang sebelumnya mengalami diskriminasi.

Mujahid memberi jaminan ratifikasi ICERD tidak akan memberi kesan kepada undang-undang dan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini bermakna jikalau kita menandatangani atau melakukan ratifikasi ICERD ia tidak akan mengubah apa yang sudah sedia ada diamalkan kecuali apa-apa undang-undang yang berkaitan mesti dibawa ke Parlimen,” katanya.

Tiada ulasan: