Hakikatnya, tiada satu faktor tunggal yang boleh diletakkan sebagai punca kekalahan BN, kerana setiap analisis tersebut ada kebenarannya, sama ada besar atau kecil.
Yang pasti, BN dan Umno yang menjadi tunjang utamanya gagal memaparkan pembaharuan yang cukup bermakna untuk tatapan rakyat semenjak tsunami politik tahun 2008. Ungkapan “muhasabah diri” yang disebut-sebut dalam kalangan pemimpin-pemimpin Umno ini telah saya dengar semenjak mahasisiwa lagi.
Akhirnya, ayat lazim yang sama, retorik politik yang sama, semuanya tidak membuahkan hasil – malah trend PRU13 dan PRU14 baru-baru ini, menunjukkan bahawa rakyat semakin lama semakin bosan dengan Umno/BN.
Semenjak 2008, tahap sokongan bukannya meningkat tetapi menurun sehinggalah tewas mutlak dengan hanya 30% undi rakyat, termasuklah cuma 45% undi Melayu.
Muhasabah
Mari kita berhenti sejenak dan renungkan angka ini – 45% undi Melayu. Kurang separuh daripada orang Melayu menyokong Umno. Buat pertama kali dalam sejarah, majoriti orang Melayu menolak Umno! Kerana itulah saya amat tidak bersetuju dengan sebarang analisis mengatakan Umno tidak mempunyai masalah besar, dan kelemahan hanya pada MCA, MIC atau parti komponen BN yang lain.
Pemimpin dan ahli Umno perlu menolak sebarang gerak hati mahu mendabik dada kononnya “Umno masih kuat”, “Umno boleh bertanding kerusi Melayu dan pasti menang”, “Umno masih parti terbesar di Parlimen”, “orang lama masih sokong Umno – masalah hanya pada orang muda” dan ayat-ayat yang sewaktu dengannya.
Seandainya setelah tewas pun, kita masih mencanang ayat penyedap hati berlandaskan ilusi kekuatan yang hakikatnya semakin pudar, saya sebagai orang muda dalam parti ini tidak mampu membayangkan apa lagi yang perlu berlaku sebelum pemimpin Umno sedar bahawa ada masalah besar dalam kaedah perjuangan dan jenama politik parti ini.
Benar, Umno masih mempunyai kekuatan asas. Dan walau apapun sentimen terhadap Umno sekarang, tidak boleh dinafikan bahawa parti ini telah banyak berjasa kepada rakyat dan negara, termasuklah oleh pentadbiran kerajaan yang baru tumbang ini.
Segala jasa ini jugalah yang menyebabkan Umno masih mempunyai penyokong tegar di luar bandar dan sebahagian rakyat lain juga yang tetap sayang kepada Umno, walaupun tidak mengundi BN tempoh hari.
Tetapi data dan trend menunjukkan sokongan Umno hari ini hanya dalam kalangan kelompok minoriti, yakni kekuatan asas yang semakin lama semakin rapuh, tatkala Umno telah ditolak secara besar-besaran di kawasan dan demografi lain.
Maka, jika tidak mahu Umno tinggal hanya sebagai parti nostalgia dalam minda rakyat, pembaharuan drastik dan besar-besaran perlu dikaji dan dilaksana. Tidak cukup perubahan evolusi sedikit demi sedikit tatkala tsunami total sudah pun melanda dan kita terbukti di belakang kelok perubahan diterajui suara keramat rakyat.
Pembaharuan
Intipati pembaharuan drastik ini akan mengambil sedikit masa untuk diperincikan. Tetapi salah satu aspek yang saya yakin perlu dikaji adalah pendekatan dan retorik politik Umno untuk mampu menarik minat segenap lapisan masyarakat, bukan hanya penyokong tegar parti yang hanya 20% atau 30% itu.
Pertama, parti dahagakan identiti politik moden yang mampu diterjemah kepada pegangan dasar untuk menjadi pembangkang berkualiti, lantas dilihat pilihan kerajaan alternatif dalam pilihan raya umum akan datang.
Selama ini, apabila Umno berkuasa, ahlinya menyokong dasar kerajaan yang ditentukan tanpa sebarang tema kepada sokongan tersebut. Asal perdana menteri gagaskan, Umno sokong, kerana Umno itu kerajaan.
Hari ini tanpa kuasa, pemimpin dan warga Umno perlu ada pegangan dan ilmu untuk menjawab persoalan kontemporari. Contohnya: Apa dasar percukaian Umno? Apa dasar luar Umno? Apa dasar pendidikan Umno?
Rakyat tidak mahu parti membangkang semata-mata melawan, tetapi biar bangkangan itu bertemakan sebuah ideologi konsisten. Ideologi Umno untuk abad ke 21 perlu diperinci – kerana dikhuatiri konsep “abata” (agama, bangsa dan tanahair) kekal sebagai teori jika tidak dimodenkan untuk tuntutan semasa.
Kedua, pendekatan politik Umno juga sudah tidak boleh terlalu jumud. Pemimpin Umno di setiap peringkat perlu sedia ke hadapan berbahas dengan fakta dan kebijaksanaan di hadapan khalayak ramai. Tidak semestinya semua pendampingan itu perlu berdebat di hadapan ratusan atau ribuan penonton. Namun, pemimpin parti di setiap peringkat perlu bersedia berhujah meyakinkan masyarakat di luar kepompong Umno – malah kalau dahulu 80% program dan takwim tahunan Umno adalah untuk ahli, hari ini sepatutnya 80% dijenamakan untuk menyentuh bukan ahli.
Ketiga, parti perlu merangka strategi untuk menarik sokongan bukan Melayu di samping meningkatkan sokongan Melayu. Format dan struktur BN itu sendiri perlu dirombak kerana mungkin tidak lagi relevan untuk zaman sekarang. Orang Umno boleh salahkan MCA, MIC sampai ke sudah, tetapi akhirnya untuk menjadi kerajaan alternatif kepada rakyat, BN secara keseluruhan perlu dapatkan sokongan segenap rakyat Malaysia dan bukan “base” kita sahaja.
Tiga perkara ini sahaja tidak cukup memenangkan Umno. Tapi biar kita bermula dengan langkah kanan yang penuh keberanian dan keyakinan pembaharuan hakiki, disulami keinsafan kesilapan dahulu. Mengambil iktibar kekalahan ini, ia juga peluang untuk Umno menyumbang kepada Malaysia Baharu dengan semangat politik yang sihat.
* Shahril Hamdan, 32 tahun, ialah Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia dengan kerjaya profesional di sektor swasta. Twitter: @shahrilhamdan Instagram: @shahrilh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan